Pusingan Pertama Pertandingan Servis Selepas Jualan Proton Selesai
Pusingan pertama Pertandingan Servis Selepas Jualan Proton telah menarik minat seramai 45 orang juruteknik dari wilayah Selatan, di mana para peserta yang terbaik akan melayakkan diri ke peringkat akhir untuk memenangi lawatan insentif dan hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.
Berlangsung di Proton Edar Plentong di Johor Bahru, pertandingan ini merupakan landasan bagi kakitangan selepas jualan Proton untuk mempamerkan kemahiran dan pengetahuan mereka.
“Saya sangat gembira dengan penyertaan seramai 45 peserta di wilayah Selatan kerana ia menunjukkan bahawa juruteknik kami bersemangat untuk mencabar diri mereka,” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd.
Semasa pertandingan selama dua hari itu berlangsung, para peserta diuji dengan keupayaan teori dan praktikal melalui tugas membaik pulih enjin yang diberikan di mana mereka dikehendaki untuk membuka dan memasang semula enjin Proton VVT dalam tempoh masa 3 jam.
Mereka dinilai berdasarkan kelajuan, ketepatan dan kecekapan penyelesaian masalah sepanjang proses tersebut.
“Ia adalah ujian yang mencabar untuk para peserta bagi kedua-dua minda dan ilmu praktikal, jadi kami berharap agar juruteknik kami akan terus memperoleh pengetahuan dan mengasah kemahiran mereka untuk memenuhi dan melangkaui harapan pelanggan,” tambah Rashid.
Pada pusingan pertama, seramai tiga orang juruteknik yang terbaik telah disenarai pendek untuk mewakili kawasan Selatan ke peringkat akhir pada September 2018. Mereka ialah Hairul Bakthiar Mohamad dari Motorwise Sdn Bhd, Pasir Gudang; Muhammad Fahmi Usri dari Proton Edar Sdn Bhd Plentong dan Hairul Nizam Mohd Nor dari Proton Edar Sdn Bhd Melaka.
Terdapat empat lagi pusingan pemilihan yang lain yang akan diadakan di Pantai Timur, Utara, Malaysia Timur dan kawasan Tengah, di mana tiga peserta terbaik di setiap wilayah akan bersaing pada peringkat akhir yang akan diadakan di Pusat Kecemerlangan Proton (COE) pada bulan September.
Enam peserta akan memenangi hadiah wang tunai dan lawatan ke Shanghai, China, di mana mereka akan menjejakkan kaki ke Ibu Pejabat dan Pusat Penyelidikan Geely.
No Comment