Toyota 86 TRD Special Edition Lebih Ligat
Mengikuti jejak langkah Subaru yang menawarkan Performance Package bagi BRZ, Toyota telah memperkenalkan 86 TRD Special Edition yang didatangkan dengan peningkatan dalam aspek pengendalian.
Terhad kepada 1,418 unit, model ini bagaimanapun mempunyai jumlah kuasa yang sama seperti sebelum ini iaitu 205 hp dan 212 Nm bagi versi manual, atau 200 hp dan 205 Nm bagi versi automatik.
Sebaliknya, apa yang pelanggan akan dapat adalah peredam SACHS yang dikatakan dapat meningkatkan kestabilan dan tindak balas stereng, serta brek cakera Brembo bersaiz 12.8 inci di depan dan 12.4 inci di belakang. Tayar Michelin Pilot Sport 4 pula memberikan lebih cengkaman.
86 Special Edition hanya ditawarkan dalam warna hitam Raven, berserta grafik TRD dan kit badan TRD yang merangkumi bampar depan, skirt sisi dan diffuser belakang. Ia juga mendapat muncung ekzos keluli tahan karat TRD.
Buka pintu dan anda akan melihat kemasan hitam dan merah pada roda stereng dan tempat duduk, serta kemasan Granlux pada bahagian kluster instrumen, sulaman logo TRD pada papan pemuka, jahitan merah dan tali pinggang keledar merah.
Harga bagi model edisi terhad ini bermula dari $32,420 (RM131,868).
No Comment