Volvo Buka Pusat 3S di Batu Pahat
Volvo Car Malaysia memperkembangkan rangkaian perniagaannya dengan pelancaran pusat 3S Volvo Batu Pahat. Dioperasikan oleh AJ Premium Motors Sdn Bhd, pusat itu akan memberikan pelanggan di bahagian selatan Malaysia lebih banyak pilihan dan akses kepada jenama Volvo.
Sejak memulakan program transformasi jualan dan selepas jualannya, rangkaian Volvo telah berkembang daripada empat kepada sembilan buah pengedar termasuk Volvo Batu Pahat. Lebih banyak pengedar dijangka akan dibuka pada tahun ini.
“Terdapat minat yang semakin meningkat untuk model kami di Malaysia dan kami secara aktif menubuhkan pengedar di kawasan strategik untuk memenuhi permintaan ini,” kata Lennart Stegland, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.
Stegland menambah bahawa program transformasi jualan dan selepas jualan bukan hanya tentang memperkembangkan rangkaian pengedar, tetapi juga untuk meningkatkan tahap kecekapan pengedar sedia untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.
Selari dengan piawaian Pengalaman Runcit Volvo (VRE), pusat terbaru ini menampilkan ruang tamu dengan inspirasi Scandinavia di mana pelanggan boleh berehat sambil menunggu kereta siap diservis. Ia juga mempunyai dua ruang servis serta peralatan yang lengkap.
Volvo Batu Pahat dibuka dari 9 pagi hingga 6 petang pada hari Isnin hingga Sabtu dan dari 11 pagi hingga 5 petang pada hari Ahad dan cuti umum.
No Comment