Ares Panther Adalah De Tomaso Pantera Versi Moden
Walaupun namanya tidak segah seperti Lamborghini atau Ferrari, De Tomaso Pantera adalah ikon supercar dengan kelompok peminatnya yang tersendiri. Produksinya sudah tamat 25 tahun dahulu namun syarikat Ares Design yang diasaskan oleh Dany Bahar akan menghidupkan kembali Pantera menerusi sebuah interpretasi moden yang dikenali sebagai Ares Panther.
Diumumkan awal tahun ini, Panther merupakan jentera pertama yang dihasilkan bagi siri ‘Legends Reborn’ Ares. Ia dibina berasaskan Lamborghini Huracan, dengan enjin dan kotak gear yang telah dipertingkatkan untuk tahap prestasi yang lebih tinggi.
Seperti Pantera, Panther akan menampilkan panel badan gentian karbon yang dipadankan dengan casis yang diperbuat daripada gentian karbon dan aluminium. Walaupun masih memakai pelekat penyamaran, lampu hadapan ‘pop-up’ serta rekaan bahagian belakang yang dramatik memberikan jentera ini keunikan yang tersendiri.
Bukan itu sahaja, kapasiti enjin V10 turut dipertingkatkan dari 5.2 ke 5.6-liter, sekaligus menghasilkan 650 hp dan 560 Nm. Menurut Ares, jumlah ini mungkin menjadi lebih tinggi sebaik sahaja proses pembangunan selesai. Respon pendikit dan penukaran gear turut ditambah baik.
Panther akan dihasilkan dalam jumlah yang sangat terhad iaitu 21 unit sahaja dan setiap satu dijual pada harga bermula €515,000 (RM2.43 juta). Setiap pengeluaran akan mengambil masa kira-kira 24 minggu bergantung pada tahap spesifikasi yang diminta oleh pelanggan.
No Comment