Aston Martin Vantage Kini di Pasaran Malaysia
Aston Martin Kuala Lumpur secara rasminya telah melancarkan Aston Martin Vantage generasi kedua di Malaysia. Supercar yang direka berdasarkan kereta DB10 milik James Bond itu dijual pada harga bermula dari RM1.6 juta selepas duti.
Menggerakkan Vantage adalah enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang menghasilkan 510 PS dan 685 Nm tork. Digandingkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan keluaran ZF, jentera ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.7 saat, dengan kelajuan maksimum 314 km/j.
Buat pertama kalinya bagi pengeluar supercar British ini, Vantage dilengkapi dengan Electronic Rear Differential (E-Diff). Ia disambungkan kepada kawalan kestabilan elektronik, jadi sistem tersebut dapat memahami tingkah laku kereta dan bertindak balas dengan sewajarnya untuk menyalurkan kuasa enjin ke roda yang memerlukan.
Casis Vantage adalah evolusi kepada struktur aluminium yang pertama kali digunakan pada model DB11, namun 70 peratus daripada komponen yang digunakan adalah baharu. Ia disokong oleh sistem peredam adaptif (ADS) dengan tiga mod pemanduan Skyhook iaitu Sport, Sport+ dan Track.
Bagi brek pula, Vantage didatangkan dengan cakera bersaiz 400 mm di hadapan dan 360 mm di belakang. Ia juga mendapat rim Y-spoke bersaiz 20 inci yang dibalut tayar Pirelli P Zero.
Pelanggan tidak perlu pening kepala tentang perkhidmatan selepas jualan kerana ianya disediakan di pusat servis Aston Martin yang terletak di Sungai Buloh. Berukuran 4,000 kaki persegi, pusat itu menyediakan alat, teknologi dan kelengkapan terkini bagi memastikan pemilik sentiasa mendapat perkhidmatan yang diperlukan.
No Comment