BMW Group Malaysia Lancar i8 Coupe Baharu
BMW Group Malaysia telah melancarkan BMW i8 Coupe baharu, sekaligus menggantikan model sedia ada yang diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2015.
Seperti model sebelum ini, i8 Coupe menampilkan struktur yang diperbuat daripada gentian karbon (CFRP) dan aluminium. Reka bentuknya dipadankan dengan teknologi aerodinamik seperti pengawal flap udara, ‘Air Curtains’ di bahagian apron hadapan, bawah badan kenderaan berpenutup, skirt sisi berkontur, jaluran ‘Stream Flow’ di kedua-dua sisi dan saluran udara di antara lampu belakang dan bingkai bumbung.
Pintu yang dibuka ke atas pula akan mendedahkan bahagian dalaman futuristik yang dihiasi dengan trim karbon ‘open pore’, kemasan seramik pada tombol gear serta logo ‘i8’ pada pengawal iDrive. Antara kelengkapan yang disertakan adalah paparan ‘head up’, Sistem Navigasi Profesional dan sistem operasi iDrive dengan skrin bersaiz 8.8 inci.
i8 Coupe didatangkan dalam warna putih (Crystal White) bersama sorotan warna kelabu (Frozen Grey), atau warna kelabu (Donington Grey) istimewa BMW Individual yang baharu, dengan rekaan Black Amido atau Accaro pada ruangan dalaman.
Aspek teknikal model ini turut dipertingkatkan, di mana baterinya mempunyai kuasa yang lebih tinggi iaitu 33 Ah berbanding 20 Ah pada versi terdahulu. Kapasiti motor elektrik turut meningkat sebanyak 9 kW kepada 105 kW dan hasilnya model ini kini mampu bergerak sejauh 55 km dengan kuasa elektrik.
Sementara itu, enjin pembakaran 1.5-liter tiga silinder model ini kekal dengan 231 hp dan 320 Nm. Digabungkan dengan motor elektrik tersebut, i8 Coupe mempunyai kuasa keseluruhan berjumlah 374 hp. Ini membuatkannya mampu memecut dari 0 sehingga 100 km/j dalam masa 4.4 saat, dengan penggunaan bahan bakar sebanyak 1.8 l/100 km yang bersamaan dengan 42 g/km bagi emisi petrol CO2 , serta penggunaan kuasa elektrik sebanyak 14.0 kWj/100 km.
Harga jualan (OTR dengan kadar GST 0%, tanpa insurans dan SST) BMW i8 Coupe baharu ialah RM1,310,800. Pembeli boleh menikmati Pengalaman Pemilikan Premium yang ditawarkan oleh BMW Group Malaysia yang merangkumi:
- Waranti Perbatuan tanpa Had selama 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma.
- Program Waranti Tayar selama 2 Tahun/24 Bulan oleh BMW untuk penawaran servis Run Flat Tyre.
- Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW.
- Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ – BMW White Card.
- Servis Atas Talian oleh BMW.
No Comment