Ducati Diavel 2019 Bakal Datang Dengan Enjin dan Elektronik Terkini
Ducati bakal memperkenalkan Diavel 1260 S baharu di pertunjukan motosikal EICMA di Itali pada bulan November tahun ini. Menurut laman web MCN, ia akan menjadi model super-cruiser tercanggih dunia dengan enjin dan sistem elektronik yang diperbaharui.
Diavel baharu itu akan dikuasakan oleh enjin Testastretta DVT V-Twin bersesaran 1,262 cc yang juga terdapat pada model XDiavel. Menggunakan teknologi pemasaan injap boleh laras, enjin tersebut dikatakan akan menghasilkan lebih daripada 150 hp.
Dari segi casis, buat pertama kalinya Diavel akan didatangkan dengan suspensi boleh laras Öhlins. Ia dipadankan dengan brek cakera Brembo Monobloc dari Panigale serta rim belakang selebar lapan inci dan tayar bersaiz 240.
Bercakap kepada MCN, pengurus projek Ducati, Eugenio Gherardi berkata Diavel baharu akan menjadi lebih sporty dengan sudut ‘rake’ yang lebih tegak iaitu dari 28 ke 27 darjah. Rangka yang digunakan adalah serba baharu dan walaupun jarak roda bertambah sebanyak 15 mm, ia dikatakan lebih lincah dari versi terdahulu.
Selain itu, ciri elektronik yang akan ditawarkan adalah IMU enam paksi, Traction Control, Launch Control, Anti-Wheelie, Cornering ABS, Quickshifter serta Bluetooth pada panel instrumen.
Ia juga dikatakan lebih praktikal dari sebelum ini dengan pelana yang lebih tebal dan tinggi. Juga terdapat adalah pemegang bagi pembonceng yang meluncur keluar apabila pelana diangkat.
No Comment