Go Auto dan SIRIM Meterai Kerjasama Strategik
Go Automobile Manufacturing Sdn Bhd (GAM) dan SIRIM Berhad telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membentuk kerjasama strategik jangka panjang antara kedua-dua pihak.
MoU ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Go Auto Group, YBhg Dato’ SM Azli SM Nasimuddin Kamal bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, YBhg Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani.
Kerjasama strategik ini merangkumi empat bidang utama iaitu pembangunan dan peningkatan produk, teknologi, tenaga manusia dan pasaran atau industri. Melalui usahasama ini, ia membolehkan GAM memperoleh akses kepada kemudahan penyelidikan SIRIM. Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam kepakaran teknikal, pemindahan teknologi dan latihan teknikal bagi melaksanakan projek atau produk di bawah perkongsian ini.
“Pengilangan kami dapat memenuhi keperluan pengawalseliaan dan pasaran dan secara tidak langsung membolehkan kami mengurangkan pengeluaran dan kos R&D. Kerjasama ini juga sejajar dengan Dasar Automotif Kebangsaan (NAP) iaitu untuk menghasilkan produk yang memenuhi piawaian dan keperluan antarabangsa. SIRIM mempunyai rekod prestasi yang membolehkan produk dan perkhidmatan Malaysia mencapai pengiktirafan di seluruh dunia dari segi kualiti dan inovasi,” kata Dato Azli lagi.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil berkata, SIRIM berada pada kedudukan yang baik untuk menerajui industri Malaysia ke Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).
Antara bidang kerjasama termasuk pembangunan dan penambahbaikan keupayaan dan kapasiti bateri cas semula berasaskan lithium ion untuk menggantikan bateri asid plumbum di pasaran automotif; pembangunan teknologi kenderaan hijau termasuk bateri untuk basikal dan motosikal serta pembangunan bateri sodium ion sebagai alternatif kepada bateri lithium ion.
Bidang usahasama lain termasuk Prototaip Pantas (Rapid Prototyping) dan percetakan 3D untuk pelajar TVET MARA, dan kemudahan Pengesahan Kelulusan Jenis Kenderaan (Vehicle Type Approval Testing) untuk e-mobiliti seperti yang dimandatkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Kerjasama ini tepat pada masanya sebagai inisiatif menyokong aspirasi dan usaha kerajaan dalam mengubah perniagaan Malaysia untuk menghadapi cabaran Industri 4.0. Kami berazam untuk memanfaatkan Porgram Pembangunan PKS SIRIM dan Industri 4.0 dalam bidang Additive Manufacturing, Artificial Intelligence, Smart Manufacturing dan peranti Internet of Things (IOT),” kata Prof Ir Dr Ahmad Fadzil.
Rasionalisasi kolaborasi ini dijangka selesai dalam tempoh dua tahun selepas pemeteraian MoU.
No Comment