Ini Dia Suzuki Vitara Facelift
Tahukah anda, Vitara adalah Suzuki paling popular di United Kingdom dan telah mendapat sambutan memberangsangkan sejak pelancarannya empat tahun lalu. Bagi tahun 2019, model itu akan mendapat naik taraf (facelift) yang merangkumi aspek visual, teknikal dan spesifikasi.
Bahagian luaran SUV itu menampilkan jeriji baharu, bampar lebih rendah serta lampu LED baharu di bahagian belakang. Bukan itu sahaja, reka bentuk rim turut diperbaharui.
Di dalam, model itu didatangkan dengan material soft-touch pada papan pemuka dan kluster instrumen baharu yang mempunyai paparan maklumat berwarna di tengah-tengah.
Vitara akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin baharu bagi menggantikan enjin petrol 1.6-liter sebelum ini. Varian SZ4 dan SZ-T mendapat enjin Boosterjet 1.0-liter yang menghasilkan 111 PS. Sistem pacuan empat roda Allgrip boleh didapati pada varian SZ-T dengan transmisi manual.
Sementara itu, varian SZ5 dilengkapi dengan enjin Boosterjet 1.4-liter dengan 140 PS dan 220 Nm dari 1,500 hingga 4,000 rpm.
Dikatakan sebagai model Suzuki paling canggih setakat ini, Vitara (varian SZ5) dilengkapi dengan pelbagai teknologi keselamatan terbaru seperti Dual Sensor Brake Support, Lane Departure Warning and Prevention, Traffic Sign Recognition, Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert.
Model ini akan memasuki pasaran Eropah bermula September tahun ini.
No Comment