Laluan Sukar Uji Peserta Proton 1-Tank Adventure Pusingan Timur Malaysia
Proton 1-Tank Adventure menuju ke Negeri Di Bawah Bayu bagi pusingan Malaysia Timur. Perjalanan kali ini meliputi jarak 420 km dari Inanam, sebuah daerah di Kota Kinabalu, ke Kundasang yang terletak 2,000 meter di atas paras laut. Walaupun dalam keadaan yang mencabar, semua pasukan yang terdiri daripada media dan orang awam berjaya melengkapkan perjalanan selama 2 hari.
Berbanding pusingan kawasan Tengah dan Pantai Timur, laluan di Sabah adalah laluan yang paling mencabar. Para peserta bertolak dari Proton Edar Inanam ke Nabalu Kundasang Lodge melalui Menara Jam Tuaran, Serisim Sub-Station, Ladang Teh Sabah dan Kuala Abai sebelum kembali ke Stadium Likas untuk Pengalaman Pemanduan Dinamik.
Beberapa cabaran yang dihadapi oleh para peserta adalah jalanraya tunggal selain pertembungan dengan haiwan-haiwan ternakan dari ladang berdekatan. Sesetengah peserta pula sesat disebabkan ketiadaan signal GPS. Laluan sedemikian bukan sahaja menguji penggunaan minyak, tetapi juga pengendalian dan keselamatan kereta Proton.
Perjalanan yang mencabar menyaksikan para profesional industri mengalami kesukaran untuk memandu secara ekonomi namun masih dapat sampai ke ‘check-point’ dalam masa yang ditetapkan. Peserta kategori Awam pula tampil lebih baik dengan peserta selebriti Ruhainies yang mencatat 5.76L/100km berbanding 6.12L/100km oleh peserta kategori media terbaik.
Sebelum acara bermula, pihak Proton menegaskan kepada para peserta bahawa objektifnya adalah untuk mencatat penggunaan minyak dengan tepat mengikut keadaan penggunaan harian. Semua peserta digalakkan memandu dengan penyaman udara dan pada kelajuan yang mewakili pemanduan setiap hari.
Majlis anugerah untuk kawasan Malaysia Timur telah diadakan di PROTON Edar Inanam. Kesemua keputusan disahkan oleh Malaysia Speed Festival (MSF) yang telah mengesahkan kesemua 16 pasukan berjaya melengkapkan perjalanan sejauh 420 km itu.
Pencapaian terbaik adalah untuk Saga 1.3 CVT pada 5.46L/100km (penggunaan bahan api purata untuk Kumpulan Saga adalah 6.17L/100km), diikuti oleh Persona 1.6 CVT pada 5.83L/100km (penggunaan bahan api purata adalah 6.33 L/100km) dan Iriz 1.3 CVT pada 5.76L/100km (penggunaan bahan api purata adalah 6.57L/100km).
Laluan 1-Tank Adventure yang berbukit telah membuktikan pengendalian yang sangat baik dan ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif pada kereta Proton. Setelah melalui jalan-jalan sedemikian, aktiviti Pemanduan Dinamik berjalan dengan mudah selain peserta diajar kemahiran memandu yang lebih baik seperti cara kedudukan tempat duduk, teknik stereng dan penggunaan pedal pemecut. Melihatkan perkembangan ini, laluan dan aktiviti masa depan mungkin akan mengambil kira lebih banyak ciri yang mencabar untuk memberi manfaat kepada semua pemandu.
No Comment