Porsche Hasilkan Model Klasik 911 Turbo
Porsche Classis telah menghasilkan item koleksi yang begitu berharga iaitu sebuah 911 Turbo (generasi 993), 20 tahun selepas pengeluarannya dihentikan.
Direka berdasarkan badan 993 yang asal, kereta yang dikenali sebagai Project Gold ini didatangkan dalam warna Golden Yellow Metallic seperti yang digunakan pada 911 Turbo S Exclusive Series 2018. Bukan itu sahaja, warna yang sama turut digunakan sebagai perincian pada rim dan bahagian dalaman.
Kenderaan unik ini mengambil masa kira-kira setahun setengah untuk disiapkan. Badannya, yang mempunyai lubang ambilan udara sisi, mula-mula melalui proses perlindungan hakisan dan mengecat seperti yang digunakan untuk model semasa. Proses seterusnya adalah pemasangan dan talaan yang dilakukan oleh pakar Porsche Classic di Stuttgart.
Nadi bagi 911 Turbo ini merupakan sebuah enjin 3.6-liter twin-turbo enam silinder yang menghasilkan 450 hp. Ia dipadankan dengan transmisi manual dan pacuan semua roda (AWD) bagi mendapatkan tahap prestasi yang sama seperti ketika ia masih dalam pengeluaran.
Kereta sport klasik ini akan membuat penampilan sulungnya di acara Porsche Rennsport Reunion di Laguna Seca pada 27 September ini. Ia kemudiannya akan dilelong di Porsche Experience Center di Atlanta pada 27 Oktober. Hasil lelongan akan didermakan kepada Yayasan Ferry Porsche.
No Comment