Proton Ertiga Xtra Tampil Dengan Kelengkapan Tambahan
Majlis penutup pertandingan Proton 1-Tank Adventure menyaksikan pelancaran Proton Ertiga Xtra baharu yang ditawarkan dalam tiga varian iaitu Executive MT, Executive AT dan Premium AT.
Seperti yang dicadangkan oleh namanya, Ertiga Xtra kini didatangkan dengan kelengkapan tambahan iaitu paparan sentuh sistem infotainmen berukuran 7 inci dengan fungsi sambungan Bluetooth, pemain DVD, sambungan telefon pintar dan sistem navigasi GPS.
Walaupun bahagian luaran tidak disentuh, suasana kabin model ini telah dipertingkatkan dengan warna fabrik lebih gelap bagi menggantikan warna beige pada versi terdahulu. Kelengkapan lain seperti lubang penyaman udara barisan kedua dan soket kuasa dikekalkan.
Ertiga Xtra terus dikuasakan oleh enjin 1.4-liter empat silinder VVT yang menjana 91 hp dan 130 Nm tork. Enjin petrol tersebut dipadankan sama ada dengan tranmisi manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan.
Dari aspek keselamatan, MPV enam tempat duduk ini menampilkan dua beg udara, ABS dengan EBD serta cagak ISOFIX.
Boleh didapati dalam warna Ruby Red, Carnelian Brown, Metal Grey dan Cotton White, Ertiga Xtra dijual pada harga RM56,773 bagi varian Executive MT, RM59,525 bagi Executive AT dan RM62,278 bagi Premium AT.
No Comment