Bisnes

PROTON Mencapai Jualan Sebanyak 8,102 Unit Bulan Julai Lalu

PROTON memulakan separuh kedua 2018 dengan mencatatkan angka jualan tertinggi sepanjang 30 bulan yang lalu. Jualan meningkat sebanyak 31% berbanding bulan sebelum ini dengan 8,102 unit kereta Proton dijual kepada pembeli kereta tempatan dan luar negara. Meskipun peningkatan jualan tempatan adalah disebabkan pelanggan mengambil peluang membeli kereta dengan GST yang berkadar sifar dan sebelum pelaksanaan SST pada September ini, aktiviti eksport yang diteruskan semula oleh Syarikat turut menyumbang kepada peningkatan kepada keseluruhan jualan.
BHP

Pegangan pasaran PROTON meningkat sebanyak tiga bulan berturut-turut dengan anggaran 11.7% bagi Jualan Keseluruhan Industri (TIV) untuk bulan Julai. Jumlah tersebut meningkat berbanding jumlah pegangan pasaran sebanyak 9.6% yang diperoleh pada bulan Jun mengikut angka yang dikongsi oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Saga dan Persona kekal sebagai model pilihan apabila mencapai jualan 3,000 unit buat kali pertama pada 2018. Persona turut mencapai sasaran baharu untuk tahun ini apabila merekodkan jualan lebih daripada 2,221 unit, memecahkan rekod pertama kali iaitu sebanyak 2,000 unit sejak Mei 2017.

Saga kekal menjadi pilihan utama kerana model tersebut adalah yang paling mampu milik, luas dan dilengkapi pengendalian terbaik bagi segmennya serta dengan tawaran ‘Saga Terbaik dalam masa 10 tahun’ di mana pelanggan boleh memiliki Saga baharu ini dengan harga kurang dari RM30,000 pada bulan Jun dan Julai. Bagi Persona, model yang mendapat penarafan antarabangsa 5 bintang oleh ASEAN NCAP ini mempunyai pelbagai ciri keselamatan termasuk Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Daya Kawalan (TC) dan 6 beg udara serta ruang dalamannya yang luas, ruangan bagasi seluas 510L dan banyak lagi, yang merupakan antara faktor utama yang mencuri perhatian pembeli.

“Julai adalah bulan yang sangat baik untuk PROTON kerana kami telah mencapai jumlah yang paling tinggi bukan hanya untuk 2018 tetapi juga untuk 30 bulan yang lalu. Kami tahu bahawa faktor utama yang meningkatkan jualan adalah disebabkan pengecualian cukai melalui GST berkadar sifar sebelum pelaksanaan SST pada bulan September tetapi jumlah jualan tersebut juga membuktikan bahawa rakyat Malaysia telah membuka mata mereka dengan tawaran menarik yang terdapat pada barisan kereta-kereta kami. Justeru, kami berharap dapat mengekalkan momentum ini walaupun selepas SST diperkenalkan kerana kami bersedia untuk melancarkan SUV pertama pada tahun ini,” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON Edar.

Syarikat meneruskan aktiviti eksport buat pertama kali sejak bekerjasama dengan Geely

Salah satu matlamat utama yang digariskan untuk pertumbuhan jangka masa panjang PROTON ialah jualan eksport, yang telah digerakkan semula pada 2018 dengan penghantaran sebanyak 517 unit pada bulan Julai. Dengan perancangan lebih banyak penghantaran yang dijangka sebelum akhir tahun ini, Syarikat yakin dapat mencapai sasaran jualan eksport untuk 2018, yang akan menjadi batu loncatan untuk menjual lebih banyak kereta di peringkat antarabangsa bagi tahun-tahun akan datang.

Pada masa ini, pasaran eksport yang paling popular untuk kereta Proton adalah di Timur Tengah menerusi lokasi utama seperti Jordan, Iraq dan Iran. Jualan di Mesir dijangka akan kembali pada suku akhir tahun ini apabila negara pulih dari krisis mata wang yang menghalang industri kereta mereka dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Sumbangan yang lebih banyak kepada Tabung Harapan Malaysia

Seperti bulan-bulan sebelum ini, PROTON terus menyokong Tabung Harapan Malaysia dengan menyumbang sebanyak RM10 untuk setiap kereta yang dijual sehingga 31 Disember 2018. Oleh itu, dengan penjualan sebanyak 8,102 unit kereta pada Julai, sejumlah RM81,020 akan diperuntukkan tambahan dari sumbangan sebanyak RM61,730 pada bulan Jun.

PROTON resumes  export to the Middle East recently. From right, Abdul Rashid Musa, CEO  of PROTON Edar, Datuk Radzaif Mohamed, Deputy CEO of PROTON and Dr Li Chunrong, CEO of PROTON.

Previous post

Perodua Ramal Cabaran Pada Separuh Tahun Kedua 2018 Kekalkan Sasaran Penjualan 209,000 Unit

Next post

Barisan Model Mercedes-Benz S-Class Facelift Dilancarkan di Malaysia

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *