Toyota Vios Challenge Pusingan Terengganu Penuh Drama
Pusingan pembukaan Toyota Gazoo Racing Festival dan Toyota Vios Challenge musim kedua yang berlangsung di perkarangan Stadium Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu menyaksikan persaingan yang cukup sengit dalam semua kelas perlumbaan.
Kelas Super Sporting
Dalam Perlumbaan 2, drama bermula sebelum pelumba sempat sampai ke selekoh pertama apabila pelanggaran antara Keifli Othman dan Kenny Lee menyebabkan kedua-duanya terpaksa menarik diri dari saingan.
Selepas perlumbaan kembali bersambung, penonton disajikan dengan persaingan sengit antara Syafiq Ali (M7 Racing Team), Mark Darwin (Dream Chaser) dan William Ho (Revo Technik Malaysia) yang memenangi Perlumbaan 1.
Dengan perbezaan kurang satu saat antara ketiga-tiga pelumba, William memberikan tekanan untuk merampas kedudukan kedua daripada Mark dan seterusnya mengejar pendahulu saingan iaitu Syafiq. Namun ketenangan yang ditunjukkan oleh Syafiq walaupun diasak selama 10 lap membuatkan pelumba Revo Technik Malaysia itu terpaksa berpuas hati dengan naib johan.
Tempat keempat diduduki oleh Boy Wong manakala tempat kelima diduduki oleh juara Kelas Sporting tahun lalu iaitu Brendan Paul Anthony.
Kelas Sporting
Walaupun tiada insiden yang berlaku, perlumbaan yang disertai oleh barisan pemandu amatur ini terpaksa ditamatkan di belakang kereta keselamatan akibat hujan lebat yang mula turun pada lap ke-15.
Memulakan saingan dari petak pertama, Patrick Tam (Nanoplus) membuktikan kehebatannya apabila berjaya menjadi pendahulu perlumbaan dari awal hingga akhir. Beliau diikuti oleh Dannies Ng Khai (Revo Technik Malaysia) di tempat kedua dan Vincent Ng di tempat ketiga.
Eric Yong (ST Wangan Racing) mendapat tempat keempat manakala tempat kelima menjadi milik Brendon Lim (Tedco Racing). Sementara itu, dua bekas pemandu kelas Promotional dari musim pertama iaitu Shawn Lee menghabiskan saingan di tempat ketujuh setelah memulakan perlumbaan dari petak kelapan manakala Shukri Yahya terpaksa bersara selepas hanya enam lap.
Kelas Promotional
Saingan antara selebriti yang ditunggu-tunggu ini menyaksikan tiga pelumba baru iaitu Akim Ahmad, Aiman Tino dan Nabil Ahmad menduduki tiga kedudukan teratas.
Penyanyi Wany Hasrita gagal memanfaatkan peluang memulakan perlumbaan dari petak pertama apabila jenteranya mati diawal perlumbaan, sekaligus membuka ruang kepada pengerusi UMW Toyota Motor iaitu Akio Takeyama untuk mendahului saingan sambil dikejar oleh Akim Ahmad.
Akim bagaimanapun menunjukkan bakat yang terpendam dalam dirinya apabila berjaya memotong Takeyama pada selekoh terakhir lap pertama dan terus mengekalkan kedudukannya sehingga perlumbaan tamat.
Jauh di belakang vokalis kumpulan Akim & The Majistret itu adalah Nabil dan Aiman yang bersaing sesama sendiri untuk merebut tempat kedua dan ketiga. Aiman membuktikan bahawa saiz badan bukan faktor dalam perlumbaan apabila berjaya memotong Nabil pada lap kesembilan untuk menduduki tempat kedua.
Selain mengurangkan jurang masa dari 15 ke 1.7 saat dan meninggalkan Nabil jauh di belakang, Aiman turut berjaya mencatat masa terpantas bagi Perlumbaan 2 iaitu 1 minit 19.726 saat. Di belakang Nabil adalah Nabila Razali, diikuti oleh Wany Hasrita.
Selepas ini, Toyota Gazoo Racing Festival dan Toyota Vios Challenge akan ke pusingan seterusnya yang akan berlangsung di MAEPS, Serdang pada bulan Oktober, sebelum ke Pulau Pinang pada Februari dan pusingan akhir di Sepang pada April 2019.
No Comment