Akan Datang: BMW X3 M dan X4 M
BMW nampaknya sedang rancak memperkembangkan barisan SUV-nya. Selepas X2 M35i dan X5 xDrive45e baru-baru ini, syarikat itu kini memperkenalkan pula dua model berprestasi tinggi yang akan datang iaitu X3 M dan X4 M.
Walaupun masih memakai pelekat penyamaran, kedua-dua model itu akan membuat penampilan awam pertama di litar Nurburgring pada hujung minggu ini bersempena dengan perlumbaan DTM.
Seperti model M yang lain, X3 M dan X4 M menampilkan karakter sporty menerusi ‘air intake’ yang besar pada bahagian bampar hadapan, ciri aerodinamik khas dan sistem ekzos dengan empat muncung yang diintegrasikan pada apron belakang.
Menurut BMW, model-model baharu ini bakal menampilkan enjin M TwinPower Turbo enam silinder yang baru dibangunkan. Ada laporan mengatakan bahawa ia adalah enjin S58 bersesaran 3.0-liter yang mampu menghasilkan sehingga 475 hp dengan Competition Package.
Selain itu, sebahagian daripada proses pembangunan X3 M dan X4 M melibatkan penalaan sistem pacuan empat roda xDrive yang pertama kali diperkenalkan menerusi M5 baharu. Ini bagi memastikan kuasa dapat disalurkan ke keempat-empat roda dengan kuasa cengkaman maksimum.
No Comment