Dua Pelumba Malaysia Bakal Sertai Yamaha VR46 Master Camp
Yamaha dan VR46 Riders Academy mengumumkan bahawa Yamaha VR46 Master Camp edisi keenam akan diadakan dari 12 hingga 16 September 2018.
Apa yang menarik, kem latihan tersebut akan menampilkan dua pelumba tempatan iaitu Muhammad Aiman bin Tahiruddin (16) dan Nazirul Izzat bin Muhammad Bahauddin (18). Mereka disertai oleh dua lagi pelumba muda dari Asia iaitu Muhammad Faerozi Toreqottullah (15) dari Indonesia dan Shota Yokoyama (16) dari Jepun.
Seperti edisi sebelumnya, Master Camp diadakan untuk untuk mengembangkan bakat pelumba muda. Mereka yang terpilih akan menjalani latihan dan pembelajaran selama seminggu di Itali di bawah bimbingan staf dan pelumba VR46 Riders Academy.
Kemahiran peserta akan diuji di Motor Ranch Rossi di mana mereka akan diajar untuk mengendalikan jentera YZ250F dan YZ125 di atas ‘flat track’. Mereka juga akan menunggang YZF-R3 di litar Misano World Circuit Marco Simoncelli, selain mencuba kehebatan jentera YZ85 di litar go-kart Misanino KCE.
Selain latihan di litar, peserta juga akan mempelajari cara-cara untuk mengekalkan tahap fizikal mereka dengan sesi latihan di gim.
No Comment