Ducati Malaysia Lancar Tiga Model Berkuasa Tinggi
Next Bike Sdn Bhd, pengedar rasmi motosikal Ducati di Malaysia, hari ini melancarkan tiga model berprestasi tinggi iaitu Panigale V4 dan V4 S, Multistrada 1260 S dan Monster 821.
Panigale V4
Dibangunkan berasaskan jentera Desmosedici dari MotoGP, Panigale V4 dikuasakan oleh enjin Stradale 1,013 cc yang menghasikan 214 hp pada 13,000 rpm dan 124 Nm pada 10,000 rpm. Ia dilengkapi dengan pelbagai ciri elektronik canggih, termasuk platform data inersia enam paksi (6D IMU), Slide Control, Cornering ABS serta Quickshift.
Panigale V4 S mempunyai spesifikasi yang sama dengan V4, namun didatangkan dengan beberapa kelengkapan tambahan iaitu fork Ohlins, penyerap hentak Ohlins, peredam stereng, rim aluminium serta bateri lithium ion.
Boleh didapati dengan pelbagai aksesori dan pakej naik taraf, Panigale V4 dijual pada harga RM129,900 manakala Panigale V4 S pada harga RM169,900.
Multistrada 1260 S
Dilancarkan buat pertama kali pada 2010, Multistrada kini didatangkan dengan enjin, casis dan pakej elektronik terbaru yang menjadikannya motosikal touring yang lebih lengkap. Ia dijual pada harga RM129,900.
‘Nadi’ Multistrada 1260 S merupakan enjin Testastretta DVT 1,262 cc yang menghasilkan 158 hp pada 9,000 rpm dan 129.5 Nm tork pada 7,500 rpm. Menurut Ducati, enjin yang patuh piawaian Euro 4 ini menjanjikan jumlah tork yang tinggi pada julat rendah hingga pertengahan.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem Ride-by-Wire dan Ducati Quickshift (DQS) yang dikatan dapat meningkatkan pengalaman menunggang. Ciri-ciri lain seperti Bosch IMU (Inertial Measurement Unit), Cornering ABS, Wheelie Control serta suspensi Skyhook turut disertakan.
Monster 821
Masih menampilkan reka bentuk ikonik seperti yang dilihat pada model Monster 900 yang diperkenalkan pada tahun 1992, Monster 821 kini didatangkan dengan cangkuk pengancing pada bahagian tangki serta paparan warna TFT dengan penunjuk kedudukan gear dan tahap bahan api.
Enjin Testastretta 11º ditugaskan untuk menggerakkan jentera ini dengan 109 hp pada 9,250 rpm dan 86 Nm pada 7,750 rpm. Antara kelengkapan standard yang ada termasuklah Ducati Safety Pack dengan ABS dan Traction Control, tiga mod menunggang, brek Brembo dengan cakera 320 mm dan angkup Monobloc serta sistem suspensi yang diperbaharui.
Monster 821 boleh didapati dalam dua warna iaitu Ducati Red pada harga RM69,900 dan Classic Ducati Yellow pada harga RM70,900.
No Comment