Ducati Scrambler Icon (2019)
Melihat gambar-gambar yang dikongsikan ini, mungkin agak sukar untuk membezakan antara Scrambler Icon baharu dengan versi asal yang diperkenalkan empat tahun lalu.
Bagaimanapun menurut Ducati, model terbaru ini didatangkan dengan beberapa peningkatan yang menjadikannya motosikal yang lebih selesa dan selamat.
Penampilan Scrambler Icon kini diperkemaskan lagi menerusi lampu hadapan baharu dengan lampu nyalaan siang LED, panel sisi aluminium yang lebih tebal, enjin dengan cat hitam, sirip kepala silinder dan rim ‘machine-finished’.
Bagi kemudahan penunggang, model ini juga mendapat lampu signal LED dengan ciri ‘auto off’, panel instrumen LCD dengan penunjuk bahan api, serta suis kawalan yang lebih ergonomik. Turut disertakan adalah Ducati Multimedia System yang membolehkan penunggang mendengar lagu, menjawab panggilan telefon atau berbual dengan pembonceng.
Ciri ergonomik turut diberi perhatian dengan tempat duduk lebih rata, bar hendal lebar dan suspensi yang telah ditala semula. Tuil klac juga dikatakan lebih lembut dengan ciri boleh laras, sama seperti tuil brek hadapan. Bukan itu sahaja, kehadiran Bosch Cornering ABS memastikan penunggangan yang lebih terjamin.
Scrambler Icon boleh didapati dalam warna Atomic Tangerine atau warna klasik ’62 Yellow.
No Comment