Honda Malaysia Jalin Kerjasama Dengan Kementerian Pendidikan
Honda Malaysia telah menandatangani perjanjian Certificate of Collaboration (CoC) dengan Jabatan Politeknik dan Pendidikan Kolej Komuniti (DPCCE), Kementerian Pendidikan (MOE), di mana modul latihan Honda akan diterapkan ke dalam sukatan pelajaran automotif terpilih.
Menerusi perjanjian ini, Honda Malaysia akan menjalinkan kerjasama dengan 17 kolej komuniti dari sembilan negeri di Malaysia. Inisiatif ini adalah sejajar dengan fokus kerajaan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) bagi melahirkan lebih ramai juruteknik berkemahiran tinggi.
Syarikat itu akan menerapkan modul Juruteknik Penyelenggaraan dan Juruteknik Baikpulih (Maintenance Technician and Repair Technician) yang turut digunakan dalam latihan dalaman kakitangannya di seluruh dunia, ke dalam kursus automotif terpilih. Para pelajar akan menerima latihan komprehensif termasuk latihan industri selama enam bulan di pengedar-pengedar Honda Malaysia.
Menurut Honda, latihan ini akan memberikan pelajar pemahaman dan pengetahuan berkenaan perkhidmatan selepas jualan Honda, selain pengalaman industri sebagai persediaan untuk memasuki alam pekerjaan.
Peserta-peserta kursus ini juga dijangka akan menamatkan pelajaran dengan prospek kerjaya yang lebih tinggi, termasuk menjadi juruteknik atau kakitangan servis rasmi Honda selepas menjalani latihan dan penilaian intensif. Honda Malaysia mensasarkan akan menerima 120 pelajar setiap tahun dari kolej dan politeknik yang terlibat dengan perjanjian ini.
Selain itu, perjanjian ini juga ‘membuka pintu’ kepada pelajar kursus lain yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada pasukan juruteknik Honda.
No Comment