Lexus RX300 Special Edition Tawar Aksesori Tambahan
Lexus Malaysia telah melancarkan varian terbaru iaitu RX300 Special Edition. Ia didatangkan dengan spesifikasi dan kelengkapan yang sama dengan varian Luxury tetapi mempunyai aksesori tambahan.
Dijual pada harga RM434,000 (lebih RM10,000 berbanding RX300 Luxury), varian terbaru ini menampilkan panel ‘underbody’ dan kemasan bawah pintu untuk perlindungan serta penampilan lebih elegan.
Ia juga dilengkapi dengan pemijak sisi sepanjang bahagian bawah pintu depan dan belakang bagi memudahkan kanak-kanak dan orang tua keluar atau masuk ke dalam kenderaan. Visor pintu pula dapat mengelakkan air hujan daripada masuk ke dalam kabin apabila tingkap diturunkan sedikit.
Di ruangan kargo, ‘step guard’ yang dipasang pada bahagian atas bampar belakang dapat mengelakkan bahagian tersebut daripada tercalar atau kotor apabila memasukkan atau mengeluarkan barang.
Selain itu, RX300 Special Edition turut didatangkan dengan lampu pintu yang boleh memancarkan logo Lexus ke tanah, pembaca kad Touch ‘n Go yang boleh digunakan di lorong Smart Tag serta perakam video digital (DVR). Menurut UMW Toyota Motor, semua aksesori adalah tulen dan dipasang secara profesional di pusat aksesori syarikat itu yang terletak di Bukit Raja, Selangor.
Varian RX300 dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menjana 235 PS dan 350 Nm. Transmisi automatik enam kelajuan ditugaskan untuk menyalurkan kuasa tersebut ke keempat-empat roda.
Seperti semua model baru yang ditawarkan oleh Lexus Malaysia, model ini didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.
No Comment