Nama SUV Pertama PROTON
Nama SUV Pertama PROTON di umumkan hari ini di upacara pratonton kepada media Malaysia di Pusat Reka bentuk PROTON.
Satu pertandingan dalam talian telah dianjurkan dan rakyat Malaysia diajak untuk memilih salah satu daripada empat nama yang disenaraikan – PX70, X7, X70 dan X700. Lebih daripada 89,900 peserta telah menghantar penyertaan, di mana nama yang telah dipilih ialah …
X70
“Ini merupakan kali pertama kami menggunakan sistem abjad angka bagi model Proton di mana kajian kami menunjukkan ianya akan memudahkan untuk PROTON menjual X70 tersebut di ASEAN dan pasaran-pasaran antarabangsa lain tanpa adanya batasan bahasa. Huruf X sinonim dengan kenderaan jenis Crossover atau SUV daripada jenama-jenama lain. justeru, penggunaan tersebut akan memudahkan untuk mengenalpasti segmen bagi model Proton ini, manakala nombor 70 pula menggambarkan saiz atau kelas bagi segmen SUV dan memberi PROTON satu sistem logikal untuk menghasilkan model yang lebih besar atau kecil pada masa hadapan,” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar.
Satu siri bertemu pelanggan yang merangkumi 7 bandar utama di Malaysia akan berlangsung dari 19 September sehingga 4 November akan diadakan untuk membolehkan orang ramai, industri perbankan dan insurans serta pelanggan korporat berpotensi melihat dengan lebih dekat model X70 sebelum ia dilancarkan pada hujung tahun ini.
Setelah sekian lama menanti, model SUV pertama secara rasminya membuat pratonton kepada media Malaysia yang diadakan di Pusat Reka Bentuk PROTON. Hasil usahasama kenderaan pertama yang dihasilkan oleh Geely dan PROTON, majlis eksklusif ini turut dihadiri oleh Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON dan barisan pengurusan kanan PROTON selain menjawab pertanyaan mengenai pengenalan model baharu SUV itu.
Turut hadir ialah Azlan Othman, Ketua Reka bentuk PROTON bagi menyampaikan maklumat mengenai reka bentuk SUV ini kepada kami. Menurut Azlan, silhouette yang diukir bersama garisan penuh energik telah diinspirasikan daripada bentuk berotot dan kelincahan seekor kucing. Lebih tepat lagi, bentuk tersebut digambarkan dari keluarga kucing yang besar, seperti Harimau Malaya, di mana bentuk tersebut memberikan rasa momentum kehadapan. Ianya turut dikaitkan dengan lampu hadapan serta lampu siang yang memberi gambaran seakan sepasang ‘mata’ yang menjadikan SUV ini dikenali tanpa mengira persekitaran pemanduan.
Bagi membezakan rekaan antara SUV Proton dengan model asal dari Geely, Azlan bersama pasukan perekanya sudah melakukan beberapa perubahan pada bahagian luaran agar kekal unik dan menepati cita rasa rakyat Malaysia. Antara perubahan paling ketara adalah pada bahagian gril yang memiliki reka bentuk diinspirasikan oleh busur yang melambangkan ketangkasan, kecepatan dan ringan. Begitu juga dengan lencana PROTON pada pertengahan gril tersebut selain diapit dengan gril tiga bar hitam mendatar. Jika diperhatikan secara teliti, rekaan bar itu mempunyai corak pengulangan tersendiri yang diilhamkan oleh ketukangan Malaysia dan warisan semula jadi kita.
“Untuk mencerminkan ketukangan dahulu kala, kami telah membangun dan mengembangkan seni ukiran kayu tradisional ke dalam susunan reka bentuk yang kami panggil Infinite Weave,” jelas Azlan.
Pada bahagian dalaman, unsur-unsur kemewahan seperti kulit Nappa, sentuhan aksen aluminium dan skrin sentuh menghasilkan suasana yang mewah, ketukangan dan teknologi. Garisan-garisan dalaman yang elegan telah diinspirasikan daripada kombinasi antara permukaan gelap dan terang manakala sentuhan Malaysia ditambah untuk menimbulkan corak Infinite Weave, yang dibawa ke bahagian dalaman melalui gril pembesar suara dan pembuka pintu di bahagian dalam. Apa yang paling menyerlahkan identiti Proton adalah melalui ikon lambang PROTON yang diletakkan pada stereng kereta.
“Sesi pratonton bermula dari 19 September dan kami mensasarkan untuk mendekati hampir 6,000 orang. Itu hanya sebahagian kecil daripada pembeli yang berpotensi kami sasarkan tetapi bagi mereka yang sudah yakin dan mahu membeli SUV baharu kami, PROTON akan mula membuka tempahan untuk X70 bermula 8 September dengan deposit sebanyak RM1,000 bagi setiap satu unit.” tambah kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar.
Artikel terdahulu yang berkenaan:
SUV Proton ‘Boyue’ Akan Berharga Antara RM98,000 Hingga RM115,000
No Comment