PROTON Mencatat Satu Lagi Pencapaian Bulanan
Peningkatan jualan berterusan bulan Ogos lalu untuk PROTON sama seperti yang dicatatkan pada bulan-bulan sebelumnya. Mereka sekali lagi memperoleh jualan bulanan tertinggi bagi tahun 2018 untuk tiga bulan berturut-turut. Jualan meningkat sebanyak 18.5% berbanding Julai, menjadikan Ogos sebagai bulan jualan tertinggi untuk kereta-kereta Proton sejak 36 bulan yang lalu. Secara keseluruhannya, sebanyak 9,501 unit kereta telah dijual, di mana ini bukan sahaja pencapaian terbaharu bagi tahun ini, tetapi merupakan volum jualan terbanyak sejak Julai 2015.
Sama seperti 7 bulan sebelum ini, Proton Saga dan Persona kekal menjadi model pilihan pembeli apabila kedua-dua model ini kekal mendominasi jualan Syarikat. Saga menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan dan memecah rekod jualan sebanyak 4,000 unit dengan pendaftaran sebanyak 4,174. Manakala, Proton Persona hampir mencapai jualan 3,000 unit dengan pendaftaran sebanyak 2,957 unit bagi Ogos. Bagi model-model yang lain turut menyumbang pada jualan, ditambahkan lagi dengan pembeli yang mencari kereta sebelum tamat hujung bulan.
“Pertumbuhan ini sedikit sebanyak didorong oleh GST yang berkadar sifar sebelum pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), serta kempen pemasaran yang giat dijalankan bagi mengingatkan rakyat Malaysia untuk mengambil kesempatan bersempena dengan pembelian tanpa cukai ini. Jumlah jualan yang tinggi ini menunjukkan peningkatan keyakinan orang ramai terhadap jenama kami kerana ramai yang masih memilih PROTON berdasarkan pakej menarik yang ditawarkan kepada mereka. Pelan pemulihan kami berjalan seperti yang dirancangkan, kini menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan mereka kekal memilih jenama kami dengan memberikan servis pelanggan yang terbaik,” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar.
No Comment