Proton Mulakan Siri Pra-Tonton X70
Setelah dinanti-nantikan beberapa bulan, SUV pertama Proton iaitu X70 akhirnya membuat penampilan awam menerusi program pra-tonton eksklusif di Petaling Jaya, dari 19 – 23 September 2018.
Para pelanggan, barisan pengurusan dari syarikat terkemuka serta pembeli korporat yang berpotensi telah dijemput untuk melihat reka bentuk dalaman dan luaran SUV tersebut, yang merupakan produk Proton pertama untuk memasuki segmen pasaran yang sedang berkembang pesat. Ia dipamerkan dalam suasana serba moden dan mewah.
Sama seperti pra-tonton bersama media yang diadakan tempoh hari, mereka yang hadir pada pra-tonton X70 ini turut dikongsikan dengan penjelasan yang komprehensif mengenai elemen reka bentuk dalaman dan luaran bagi model pertama yang dihasilkan dengan kerjasama antara Proton dan Geely.
Ketika sesi pra-tonton ini, para pelanggan telah berkongsi pengalaman dan pendapat mereka mengenai Proton X70. Secara umumnya, X70 dirasakan sebagai model terbaik Proton dan ramai di antara mereka yang kagum dengan reka bentuk dan ciri-ciri yang ditampilkan dengan rangkaian harga yang dijangkakan.
Darren Ho, Pengurus Besar Hong Leong Bank Berhad berkata, “Bagi saya kereta tersebut sangat hebat dan mengagumkan, dari keseluruhan pembangunan reka bentuk sebagai sebuah kereta rakyat Malaysia dan juga sebuah kereta yang akan mewakili Malaysia ke dunia, saya rasa ia benar-benar hebat. Rupa yang cantik dari segi luaran dan dalaman serta ciri-ciri yang menakjubkan.”
“Keluaran Proton yang terbaik pernah saya lihat. Tahniah kepada pasukan Proton. Pada pendapat saya ini adalah kereta terbaik yang pernah dihasilkan oleh Proton setakat ini dengan reka bentuk yang terbaik supaya ia menjadi pilihan utama di pasaran,” kata Marizan Nor Basiran, Ketua Pegawai Teknikal WZ Satu Berhad
Sesi pra-tonton eksklusif kepada pelanggan yang telah bermula sejak 19 September lalu merupakan acara pertama yang akan merangkumi tujuh bandar utama di Malaysia yang akan berlangsung sehingga 4 November. Sesi ini telah bermula di bahagian tengah, diikuti Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching, Kuantan, Ipoh dan Kota Kinabalu.
No Comment