Sukan

Aksi Mendebarkan di Pusingan Kedua Toyota Vios Challenge

Jika perlumbaan semalam berlangsung dengan tenang tanpa sebarang drama, perlumbaan kedua Toyota Vios Challenge musim kedua pusingan MAEPS yang berlangsung hari ini menyaksikan aksi pertarungan sengit antara peserta dalam kesemua tiga kelas yang dipertandingkan.

Persaingan bagi merebut tempat di atas podium serta mata kejohanan menjadi hangat lebih-lebih lagi apabila cabaran ini akan “berehat” selamat empat bulan sebelum bersambung semula pada Februari tahun hadapan.

BHP

Super Sporting

Hanya dua selekoh selepas perlumbaan dimulakan, perlumbaan kelas Super Sporting terpaksa dihentikan buat sementara apabila kereta yang dipandu Willam Ho dari Kegani Racing terbalik selepas terlanggar kereta Freddie Ng dari Telagamas Toyota.

Ho tidak tercedera namun perlumbaan terpaksa ditangguhkan selama 30 minit untuk kerja pembersihan litar serta pembaikan penghadang yang rosak akibat pelanggaran tersebut.

A7D_1740

Selepas perlumbaan dimulakan semula, Ng yang bermula dari petak kedua berjaya meloloskan diri ke tempat pertama di hadapan Kenny Lee dan Brendan Paul Anthony. Bagaimanapun, asakan bertubi-tubi daripada Lee akhirnya memaksa Ng melakukan kesilapan sekaligus melanggar penghadang litar.

Insiden kedua itu menyaksikan kehadiran kereta keselamatan selama tiga pusingan dengan Lee dinaikkan menjadi pendahulu perlumbaan, diikuti oleh Brendan di tempat kedua, Boy Wong di tempat ketiga, Ser Meng Hui di tempat keempat dan Keifli Othman di tempat kelima.

A7D_1769

Sporting

Aksi dalam kelas Sporting tidak kurang hebatnya. Pada awal perlumbaan, Patrick Tam dari Team Nanoplus menjadi pendahulu di hadapan Clement Yeo (Distinctive Model), Hayden Haikal (Prodigy Racing), Eric Yong (ST Wangan), Dato Ken Foo (Kulim Top Wheels) dan pelumba selebriti Shukri Yahya.

Foo yang memenangi perlumbaan pertama semalam bagaimanapun dikenakan penalti 10 saat untuk kesalahan “false start” dan ditempatkan di tempat kelapan walaupun menghabiskan perlumbaan di tempat keempat.

A7D_1652

Sementara Tam menjadi semakin laju di hadapan, Yeo terpaksa berhempas-pulas untuk mengekang kemaraan Hayden. Pelumba remaja itu bagaimanapun terpaksa menyerahkan kedudukan ketiga kepada Kenneth Koh serta dikenakan penalti 10 saat kerana menyebabkan pelanggaran ketika cuba memotong Yeo. Kegembiraan Koh tidak lama apabila terpaksa membuat hentian pit untuk membaiki bampar belakang yang remuk dalam pelanggaran dengan Hayden.

Insiden yang melibatkan Adzeem Eqwan Adnan pada pusingan keenam menyaksikan kehadiran kereta keselamatan untuk lima pusingan, dan selepas perlumbaan bersambung, Tam berjaya mengekalkan kedudukannya di hadapan Yeo, sementara Yong di tempat ketiga, Dannies Ng (Revo Technik Malaysia) di tempat keempat dan Brendon Lim di tempat kelima.

A7D_1927

Promotional

Aiman Tino menghabiskan pusingan kedua Vios Challenge musim ini dengan cemerlang apabila berjaya memenangi perlumbaan kedua sebagai juara setelah mendapat tempat ketiga dalam perlumbaan pertama yang berlangsung semalam.

Walaupun memulakan cabaran di petak ketiga, aksi permulaan yang baik meletakkan penyanyi berusia 20 tahun itu di hadapan Akim Ahmad dan naib pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama. Di belakang Akim dan Akio adalah pemenang perlumbaan pertama Nabil Ahmad, diikuti oleh Diana Danielle.

AD5_1714

Kedudukan kelima teratas tidak berubah untuk tiga pusingan sebelum Takayema terlanggar penghadang konkrit akibat diasak Nabil yang cuba untuk memotong. Pelakon dan pelawak itu menamatkan perlumbaan di tempat ketiga namun penalti 20 saat menyebabkan beliau terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keenam, manakala tempatnya digantikan oleh Diana.

Sementara itu, Janna Nick mendapat tempat keempat, Wany Hasrita tempat kelima manakala Nabila Razali dan Khai Bahar masing-masing menduduki tempat ketujuh dan kelapan.

AD5_1545

Selepas pusingan pertama di Kuala Terengganu pada Ogos lalu dan pusingan kedua di MAEPS, Toyota Gazoo Racing Festival dan Vios Challenge akan ke Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada Februari tahun hadapan.

 

Previous post

Korek Jangan Tak Korek

Next post

LEL Express Terima Dua Trak Tata Super Ace

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *