Ford Ranger Generasi Baharu Dilancarkan di Malaysia
Barisan model Ford Ranger generasi baharu akhirnya dilancarkan secara rasmi oleh Sime Darby Auto Connexion (SDAC), pengedar rasmi jenama itu di Malaysia.
Bagi pasaran Malaysia, Ranger ditawarkan dalam versi XL, XLT, XLT+, Wildtrak dan Raptor, dengan sembilan varian berbeza. Menurut SDAC, Raptor akan dilancarkan secara rasmi pada acara Kuala Lumpur International Motor Show 2018 pada November ini.
Ranger baharu didatangkan dengan tiga pilihan enjin iaitu enjin 2.0-liter Bi-Turbo (Wildtrak 4X4 dan Raptor) dan 2.0-liter Single-Turbo (Wildtrak 4X2 dan XLT+) serta enjin 2.2-liter Duratorq (XL dan XLT).
Dikenali sebagai Panther, enjin Bi-Turbo tersebut menghasilkan 213 PS dan 500 Nm, manakala enjin Single-Turbo menjana 180 PS dan 420 Nm. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik 10 kelajuan baharu.
Sementara itu, enjin Duratorq pula mempunyai 160 PS dan 385 Nm dan dipadankan dengan transmisi automatik atau manual enam kelajuan.
Antara teknologi terkini yang ada pada Ranger (Wildtrak 4X4) termasuklah Pre-Collision Assist dengan Autonomous Emergency Braking (AEB), Lane Departure Warning & Assist, Adaptive Cruise Control, Forward Collision Warning dan Semi-Automatic Parallel Parking.
Bukan itu sahaja, varian XLT+ dan Wildtrak juga mendapat Easy Lift Tailgate yang memudahkan pemandu membuka atau menutup tailgate. Kedua-dua varian ini juga didatangkan dengan sistem infotainment SYNC 3 dengan skrin sentuh 8 inci yang menyokong ciri Apple CarPlay, Android Auto dan Bluetooth.
Sistem Electric Power Assisted Steering (EPAS) kini diberikan kepada semua varian termasuk XL sebagai kelengkapan standard.
Berikut adalah harga Ranger mengikut varian:
- Wildtrak (2 varian) – dari RM134,888
- XLT+ (1 varian) – dari RM124,888
- XLT (2 varian) – dari RM109,888
- XL – (3 varian) – dari RM90,888
Ia boleh didapati dalam lapan warna termasuk tiga warna terkini iaitu Saber (Wildtrak sahaja), Magnetic dan Lightning Blue.
Lebih menarik lagi, 888 pelanggan terawal yang mendaftarkan Ranger mereka akan mendapat baucar barangan elektrik bernilai RM1,000. Tawaran ini terhad sehingga 31 Disember ini. Selain itu, mereka yang mendaftar sebelum 31 Januari 2019 akan mendapat pakej servis percuma untuk dua tahun atau 40,000 km.
No Comment