Ford Teruskan Program ‘Kemahiran Pemanduan Sepanjang Hayat’
Ford dan rakan pengedar tempatannya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) sekali lagi menganjurkan program Kemahiran Pemanduan Sepanjang Hayat (Driving Skills for Life atau DSFL). Ia diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), melibatkan lebih 50 orang pemandu berlesen termasuk rakan-rakan korporat.
Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), hampir 81 peratus kemalangan jalan raya di Malaysia adalah disebabkan oleh kesilapan pemandu seperti pengurusan kelajuan yang tidak betul dan cuai ketika memandu.
Justeru, program DSFL Ford bertujuan mendidik pemandu berlesen dari semua peringkat umur tentang bagaimana untuk memandu dengan lebih selamat, melalui sesi latihan praktikal secara bersemuka yang ditawarkan secara percuma. Ini akan membantu mereka menjadi pemandu yang lebih selamat dan peka.
Bengkel DSFL mendedahkan pelbagai risiko yang perlu dihadapi oleh pemandu seperti situasi yang tidak dijangka, kelajuan dan pengurusan ruang. Di samping itu juga, ia berhasrat meningkatkan kesedaran tentang kecuaian pemandu akibat penggunaan telefon bimbit atau rasa mengantuk ketika memandu.
Tips keselamatan keluarga, seperti memastikan tempat duduk kanak-kanak dipasang dengan betul, serta tip-tip pemanduan selamat buat bakal ibu, turut dikongsi dalam sesi pratikal dan kelas tersebut.
“Keselamatan jalan raya merupakan satu isu yang serius serta menjadi keutamaan bagi kami di Ford dan SDAC. Selain memastikan kenderaan kami sentiasa mematuhi dan melepasi standard keselamatan, kami juga merasakan bahawa sudah menjadi tanggungjawab kami untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif kesedaran tentang keselamatan kepada orang awam.
“Kami amat berbangga kerana menjadi sebahagian daripada program ini dan terus membantu mengukuhkan amalan pemanduan yang selamat di kalangan pemandu Malaysia,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz.
Penekanan terhadap pemanduan di bawah pengaruh minuman keras atau ubat juga turut disertakan dalam setiap sesi latihan, di mana peserta diminta memakai pelindung mata khas bagi membantu mensimulasikan pengalaman memandu ketika pergerakan, koordinasi dan kepekaan terganggu.
Tahun ini sahaja, bengkel latihan keselamatan DSFL telah berjaya melatih lebih 100 orang pemandu, melalui bengkel-bengkel yang diadakan sejak Ogos lalu. Para peserta terdiri daripada pemandu muda yang tidak berpengalaman dan pemandu profesional dari pelbagai syarikat swasta.
No Comment