Honda City Kekal Pendahulu Dalam Segmen B
Honda Malaysia hari ini meraikan kejayaan untuk model terlarisnya yang juga model nombor satu dalam segmen B, iaitu City, dengan jualan yang telah mencecah 300,000 unit di negara ini.
Populariti City di Malaysia memang tidak dapat dinafikan. Model generasi kedua yang dilancarkan pada tahun 2001 mencatat jualan sebanyak 61,000 unit manakala model generasi ketiga menjadi lebih popular dengan jualan melebihi 85,000 unit.
City generasi keempat pula berjaya mencecah 155,300 unit semenjak pelancarannya pada tahun 2014. Apabila versi facelift diperkenalkan pada Mac tahun lalu, ia terus menjadi pilihan ramai dengan jualan sebanyak 48,900 unit sehingga Ogos tahun ini.
Antara Januari dan Ogos 2018, jualan City menyumbang sebanyak 30% kepada jualan keseluruhan Honda Malaysia, dengan pegangan bahagian pasaran sebanyak 51% dalam segmen B. Dalam tempoh yang sama, jualan menunjukkan peningkatan sebanyak 16% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Ini sekaligus membolehkan Honda Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu dalam segmen bukan nasional dan nombor dua dalam Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) sehingga kini.
Dari Januari hingga Ogos 2018, varian E menjadi varian paling laris dengan sumbangan jualan sebanyak 44% manakala varian V dengan 33%. Wilayah Tengah menjadi penyumbang tertinggi jualan iaitu 49%, diikuti dengan wilayah Selatan dengan dan Utara yang masing-masing mencatat 20% dan 19%.
Mengulas mengenai pencapaian yang telah dicapai oleh City, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, “Kami gembira dapat mencapai jualan sebanyak 300,000 unit untuk City dalam tempoh 17 tahun sejak ia mula diperkenalkan di Malaysia. Ini telah membuktikan kejayaan City di Malaysia.”
No Comment