Mercedes-Benz Malaysia Lancar A-Class Generasi Keempat
Mercedes-Benz Malaysia hari ini melancarkan model kompak yang ditunggu-tunggu iaitu A-Class serba baharu. Model generasi keempat ini diperkenalkan buat pertama kali di Geneva Motor Show awal tahun ini.
Bagi pasaran Malaysia, A-Class ditawarkan dalam dua varian iaitu A 200 Progressive Line yang berharga RM227,888 dan A 250 AMG Line yang dijual pada harga RM263,888.
Selain rekaan yang lebih dinamik, A-Class turut menampilkan rangkaian enjin terkini. A 200 dilengkapi dengan enjin turbo 1.3-liter empat silinder yang menghasilkan 163 hp pada 5,500 rpm dan 250 Nm dari 1,620 hingga 4,000 rpm.
Sementara itu, varian A 250 pula mempunyai enjin turbo 2.0-liter empat silinder dengan 224 hp pada 5,500 rpm dan 350 Nm dari 1,800 hingga 4,000 rpm. Kedua-duanya menggunakan transmisi automatik tujuh kelajuan 7G-DCT yang mempunyai mod Eco, Comfort, Sport dan Individual.
Dari segi prestasi, A 200 memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam lapan saat dengan kelajuan maksimum 225 km/j, manakala A 250 pula melakukannya dalam 6.2 saat dengan kelajuan maksimum yang lebih tinggi iaitu 250 km/j.
A-Class merupakan model Mercedes-Benz pertama yang didatangkan dengan sistem multimedia Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Ia mempunyai ciri kawalan suara dengan ciri pemahaman bahasa yang boleh diaktifkan dengan hanya menyebut “Hey Mercedes”.
Menerusi fungsi ini, pemandu boleh mengawal pelbagai ciri infotainment seperti navigasi, pilihan muzik, suhu pendingin hawa dan warna pencahayaan ambien tanpa perlu menggunakan tangan.
Turut disertakan adalah Widescreen Cockpit yang terdiri daripada dua skrin yang masing-masing bersaiz 10.25 inci. Paparan digitalnya boleh dikonfigurasikan dalam beberapa gaya berbeza seperti Classic, Understated dan Sport.
Dari segi kelengkapan lain, kedua-dua varian didatangkan dengan lampu LED, rim 18 inci, tempat duduk hadapan boleh laras dengan fungsi memori, sokongan lumbar, Keyless-Go, Active Brake Assist, Active Parking Assist, sistem pemantauan tekanan tayar, kamera undur, dan kawalan high-beam automatik.
No Comment