MV Agusta Hasilkan F4 Edisi Khas Terakhir
Piawaian emisi yang semakin ketat menyebabkan pengeluaran MV Agusta F4 akan dihentikan menjelang akhir tahun ini.
Namun, sebelum model ini meninggalkan pasaran buat selama-lamanya, pengeluar superbike dari Itali itu telah melancarkan satu edisi khas terakhir sebagai penghormatan kepada individu yang bertanggungjawab dalam penghasilan model F4 iaitu Claudio Castiglioni.
Seperti yang dijangka dengan MV Agusta, model edisi khas ini tidak kurang hebatnya dengan panel badan dan rim keluaran BST yang diperbuat sepenuhnya daripada gentian karbon. Warna hitam asli bahan itu dipadankan pula dengan perincian berwarna emas untuk penampilan lebih eksklusif.
Dari segi teknikal, enjin model ini kini didatangkan dengan rod penyambung titanium, aci engkol lebih ringan, intake port yang diperbaharui serta ‘cam follower’ DLC (Diamond Like Carbon). Hasilnya, enjin empat silinder selari itu menjana 212 hp dalam versi “Race” atau 205 hp bagi versi “street”.
Pengurusan kuasa enjin dilakukan oleh sistem elektronik yang menyediakan empat mod iaitu Normal, Sport, Rain dan Custom. Turut disertakan adalah Traction Control lapan tahap, serta paparan AIM dengan fungsi pengelogan data dan GPS yang boleh diakses menerusi butang pada bar hendal.
Selain itu, model ini turut mendapat angkup brek Brembo Stylema, sistem suspensi Ohlins dan sistem ekzos SC Project.
MV Agusta merancang untuk menghasilkan 200 unit F4 Claudio Castiglioni. Harga masih belum diumumkan.
No Comment