Naza Kia Malaysia Lancar Optima GT, Sorento dan Grand Carnival Facelift
Naza Kia Malaysia telah memperkenalkan tiga model Kia yang menerima facelift iaitu Optima GT, Sorento dan Grand Carnival. Selain itu, Rio juga telah dipertingkatkan dengan transmisi baharu.
Optima GT
Model sedan berprestasi ini menerima penambahbaikan dalam bentuk gril, lampu kabus LED dan lampu belakang LED baru, selain mengekalkan rim 18 inci. Bahagian dalaman pula menampilkan pencahayaan ambien pada papan pemuka dan pintu dan upholsteri kulit berwarna merah dan hitam.
Selain itu, Optima GT kini dilengkapi dengan ciri Around View Monitor (AVM) yang menggunakan kamera pada bahagian hadapan, sisi dan belakang kenderaan untuk memberikan sudut pandangan 360 darjah.
Ditawarkan dalam lima warna iaitu Snow White Pearl, Aurora Black, Gravity Blue dan warna terbaru Silky Silver dan Platinum Graphite, Optima GT dijual pada harga RM169,888 (harga atas jalan tanpa insurans).
Sorento
Model SUV ini kini dikenali sebagai EX bagi varian 2.4L petrol dengan transmisi automatik enam kelajuan dan SX bagi varian 2.2L turbodiesel yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan baru.
Kedua-dua varian menampilkan lampu utama LED ‘triple barrel’ dengan ciri Dynamic Bending Light dan lampu kabus LED, serta rekaan lampu LED belakang yang lebih segar. Varian EX didatangkan dengan rim aloi 18 inci manakala varian SX menampilkan rim aloi 19 inci. Antara kelengkapan baru yang ada pada bahagian kabin adalah ciri Bluetooth dengan sistem pengenalan suara, fungsi memori untuk tempat duduk dan pengecas telefon tanpa wayar.
Pilihan warna yang ada untuk Sorento adalah Snow White Pearl, Aurora Black, Silky Silver, Platinum Graphite dan Rich Espresso. Harga bagi Sorento EX adalah RM169,888 manakala Sorento SX adalah RM179,888.
Grand Carnival
MPV ini kini didatangkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan baru yang dikatakan dapat memberikan pecutan lebih lancar dan tahap kecekapan bahan api yang lebih tinggi. Ia juga mendapat brek parkir elektronik dan rim aloi bersaiz 18 inci dengan kemasan Light Metal Silver bagi varian KX dan Dark Grey Two Tone bagi SX.
Varian KX tampil lebih eksklusif menerusi lampu projektor hadapan yang didatangkan dengan lampu nyalaan siang LED dan lampu kabus, manakala SX mendapat lampu projektor LED dengan ciri ‘auto levelling’, lampu nyalaan siang LED serta lampu kabus LED ‘kiub ais’. Varian ini turut dilengkapi dengan Blind Spot Detection System (BDS), sistem memori terbina pada tempat duduk pemandu dan cermin sisi, serta pengecas telefon tanpa wayar.
Warna yang boleh dipilih adalah Snow White Pearl, Black Pearl Silky Silver dan Panthera Metal. Grand Carnival KX dijual pada harga RM155,888 manakala Grand Carnival SX dijual pada harga RM184,888.
Rio
Rio baru kini didatangkan dengan transmisi automatik enam kelajuan bagi menggantikan transmisi automatik empat kelajuan yang digunakan sebelum ini.
Ia juga menerima naik taraf dalam bentuk ciri Auto Cruise Control dengan pengehad kelajuan, Blind Spot Detection System dan cermin elektrokromik dengan ‘auto dimmer’. Model hatchback ini juga didatangkan dengan rim 16 inci.
Rio boleh didapati dalam warna Signal Red, Aurora Black Pearl, Smoke Blue, Deep Siena Brown, Clear White dan Platinum Graphite. Harga bermula dari RM78,888.
No Comment