Volkswagen ART3on Bukan Arteon Biasa-biasa
Volkswagen Australia telah memperkenalkan sebuah Arteon yang dibangunkan khas untuk bertanding dalam World Time Attack Challenge yang diadakan di Sydney baru-baru ini.
Dikenali sebagai ART3on, jentera ini dibina oleh sebuah pasukan perantis yang dipantau oleh pasukan teknikal Volkswagen Australia dan pihak dari komuniti automotif negara itu.
Selain daripada balutan stiker berwarna-warni yang dihasilkan oleh artis jalanan Simon Murray (juga dikenali sebagai KADE), ART3on mempunyai enjin 2.0 TSI yang menghasilkan 489 PS, iaitu 209 PS lebih tinggi berbanding versi standard. Jumlah tork juga meningkat dari 350 Nm ke 600 Nm.
Sesi ujian di Luddenham Raceway di Sydney menunjukkan bahawa jentera ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.9 saat, jauh lebih pantas berbanding versi standard yang memerlukan 5.6 saat. Kelajuan maksimum tidak didedahkan, namun ia pastinya melebihi 250 km/j.
Antara modifikasi yang dilakukan pada enjin tersebut adalah penggunaan pengecas turbo Stage 3, serta intake dan airbox kustom daripada RacingLine. Jentera ini juga mendapat naik taraf intercooler, pam bahan api bertekanan tinggi dan sistem pengurusan pelincir.
Selain itu, pengendalian ART3on diperbaiki menerusi suspensi Bilstein Clubsport dan tayar semi-slick Pirelli P-Zero Trofeo. Bagi memastikan ia sentiasa mempunyai kuasa brek yang mencukupi, Volkswagen Australia turut menggunakan sistem brek APR.
No Comment