Hyundai i30 N Buat Kemunculan Pertama di Malaysia
Selain daripada Santa Fe, Starex dan beberapa model lain, Hyundai-Sime Darby Motors turut mempamerkan model sport pertama mereka iaitu i30 N di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS ’18).
Diperkenalkan di peringkat global pada pertengahan tahun lalu, i30 N merupakan model pertama Hyundai yang terhasil di bawah sub-jenama N yang memfokuskan kepada prestasi.
Model ini ‘dilahirkan’ di pusat penyelidikan Hyundai di Namyang, Korea dan diuji secara menyeluruh di litar Nurburgring. Ini menunjukkan bahawa jenama itu serius dalam usahanya untuk bersaing dengan nama-nama yang lebih besar dalam segmen ‘hot hatch’.
i30 N dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter Theta II TCi GDI yang dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan. Versi standard mempunyai 250 PS dan 353 Nm, manakala versi Performance Package seperti yang dipamerkan ini mempunyai 279 PS pada 6,000 rpm dan 353 Nm pada 1,750-4,200 rpm.
Dengan pacuan roda hadapan, jentera ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 6.1 saat dengan kelajuan maksimum 250 km/j. Untuk perbandingan, pesaing terdekatnya iaitu Volkswagen Golf GTI (230 PS/350 Nm) memerlukan 6.4 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j dan boleh memecut sehingga 248 km/j.
Antara kelengkapan yang ada pada i30 N termasuklah sistem stereng kuasa motor (R-MDPS), Launch Control, ciri ‘rev matching’, Electronically Controlled Suspension (ECS), Electronic Stability Control (ESC), serta Electronic Sound Generator (ESG).
Lima mod pemanduan disediakan iaitu Eco, Normal, Sport, N dan N Custom. Mod-mod ini boleh diaktifkan melalui dua butang khas pada roda stereng dan akan mengubah tindak balas enjin, penyerap hentak, ESC, E-LSD, bunyi enjin, stereng serta ciri ‘rev matching’.
Setakat ini, tiada pengesahan dari pihak HSDM mengenai perancangan untuk membawa masuk model ini ke dalam pasaran Malaysia.
No Comment