Isuzu Lancar Pakej Aksesori D-Max
Isuzu Malaysia telah memperkenalkan dua pakej aksesori tulen yang direka khas untuk D-Max.
Dikenali sebagai Titanium, pakej ini memberikan penampilan lebih premium menerusi kemasan krom pada lampu utama, pelindung lampu belakang dan pemegang pintu, pelindung dan kemasan tailgate, plat rocker serta visor pintu.
Pakej Robust pula adalah untuk mereka yang mahukan imej lebih lasak. Ia merangkumi kemasan hitam matte pada lampu utama, pelindung lampu belakang, pelindung dan kemasan pemegang pintu, pelindung tailgate, visor pintu serta pelindung hud enjin.
Kedua-dua pakej ini dijual pada harga RM1,180. Selain itu, pelanggan juga boleh mendapatkan aksesori tambahan iaitu pelindung bampar hadapan (RM1,390) dan over fender (RM1,090).
Selain itu, Isuzu Malaysia turut mempamerkan dua model konsep D-Max dan mu-X serta enjin terbaru mereka di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 yang kini sedang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur.
Didatangkan dalam warna merah dan biru ‘army electric’, D-Max dipertingkatkan dengan bampar besi, rim aloi dan roll bar. Bahagian dalamannya menampilkan rekaan ‘blue metal armour’ yang dikatakan menyerupai sut askar.
mu-X pula dibangunkan untuk penggunaan off-road. Ia dilengkapi dengan takal cangkuk, ‘roof tray’, tayar lumpur dan bampar besi. Ia juga dinaikkan sebanyak tiga inci bagi mendapatkan ruang lega tanah yang lebih besar.
Turut dipamerkan adalah enjin turbodiesel RZ4E-TC 1.9L Ddi BluePower yang merupakan hasil dari penyelidikan teknologi diesel selama empat tahun. Antara peningkatan yang ada pada enjin tersebut adalah penggunaan bahan anti geseran Diamond Like Coating dan penyuntik commonrail bertekanan 200 Mpa.
No Comment