Kawasaki Ninja ZX-10RR dan Ninja ZX-6R Dilancarkan di KLIMS 2018
Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. melancarkan dua model terbaru di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS 2018) iaitu Ninja ZX-10RR dan Ninja ZX-6R.
ZX-10RR dibangunkan berasaskan jentera lumba Kawasaki Racing Team (KRT) yang ditunggang oleh Jonathan Rea, dengan hanya 500 unit dihasilkan untuk pasaran global. Ia dijual pada harga RM159,900 bagi pasaran Malaysia.
Model ini menerima pelbagai penambahbaikan, termasuk rod penyambung lebih ringan yang berfungsi mengurangkan daya inersia aci engkol sebanyak 5%.
Digabungkan dengan ‘finger-follower valve actuation’ yang dipertingkatkan dan lain-lain penambahbaikan, enjin 999 cc empat silinder itu kini menjana 201 hp dan 114 Nm tork. Lengkung tork turut dinaikkan, sekaligus mengekalkan ciri mudah ditunggang ZX-10RR sambil menawarkan peningkatan kuasa.
ZX-10RR mempunyai satu tempat duduk serta rim Marchesini yang dibalut tayar Pirelli Diablo Supercosa SP. Suspensi turut ditala bagi memastikan pemindahan berat yang lancar semasa memecut dan membrek di litar.
Sementara itu, Ninja ZX-6R menyertai barisan model berprestasi tinggi Kawasaki Malaysia dengan harga RM79,900.
Ia dikuasakan oleh enjin 636 cc empat silinder dengan 127 hp dan 70.8 Nm tork. Enjin tersebut menawarkan tork yang lebih kuat pada putaran enjin rendah dan sederhana, menjadikan ia sesuai untuk tunggangan harian.
Kelengkapan standard lain yang terpada pada ZX-6R adalah Quickshifter, Kawasaki Traction Control (KTRC) dengan tiga mod tunggangan serta ABS.
Kuasa membrek dibekalkan oleh cakera sepera-terapung berukuran 310 mm di hadapan dan 220 mm di belakang, serta radial-pump master cylinder. Bahagian panel instrumen menampilkan tachometer analog dengan lampu amaran pada sebelah kiri dan penunjuk kedudukan gear serta LCD pelbagai fungsi pada sebelah kanan.
No Comment