KLIMS 2018: Toyota Camry Generasi ke-8 Dilancarkan
UMW Toyota Motor telah melancarkan Toyota Camry serba baharu di acara Kuala Lumpur International Motor Show 2018 (KLIMS 2018). Model generasi kelapan itu direka semula sepenuhnya dan boleh didapati dalam varian 2.5V sahaja dengan harga RM189,900.
Tidak seperti sebelum ini, Camry baharu diimport sebagai model CBU dari Thailand. Langkah untuk beralih dari CKD ke CBU merupakan sebahagian daripada strategi rasionalisasi produk Toyota bagi rantau ASEAN.
Model ini dikuasakan oleh enjin 2AR-FE 2.5-liter empat silinder DOHC dengan teknologi Dual VVT-i. Ia menjana 184 PS pada 6,000 rpm dan 235 Nm pada 4,100 rpm, yang disalurkan menerusi transmisi automatik enam kelajuan Super ECT.
Menurut Presiden UMW Toyota Motor Ravindran K., varian hibrid tidak akan ditawarkan buat masa ini. “Memandangkan keputusan telah dibuat untuk mengimport Camry dari Thailand, kenderaan itu tidak berhak mendapat insentif EEV. Oleh itu, harga akan menjadi jauh lebih tinggi daripada sebelumnya dan ia tidak cukup kompetitif untuk pelanggan kami,” kata beliau.
Selain menggunakan platform TNGA (Toyota New Global Architecture), Camry turut menampilkan Toyota Safety Sense yang merangkumi ciri-ciri Pre-collision System, Lane Departure Alert (LDA), Steering Assist, Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dan Automatic High Beam (AHB).
Ia ditawarkan dalam lima warna iaitu Platinum Pearl White, Silver Metallic, Graphite Metallic, Burning Black dan Red Mica.
No Comment