Lexus Malaysia Pamer Dua Model Baharu di KLIMS 2018
Lexus Malaysia tidak ketinggalan menyertai Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS 2018) dengan membawa dua model baharu iaitu UX dan ES.
UX merupakan model SUV kompak yang menandakan kemasukan kali pertama Lexus ke dalam segmen yang semakin berkembang itu. Ia dibina di atas platform Global Architecture – Compact (GA-C) baharu yang menawarkan tahap ketegaran badan yang tinggi dan pusat graviti yang rendah.
Dari segi reka bentuk, UX menampilkan ‘spindle grille’ serta lampu belakang unik yang bertindak sebagai spoiler yang menghasilkan ‘downforce’ tambahan. Bahagian dalaman pula dihiasi dengan kemasan kulit Sashiko dan tekstur kertas Washi. Kluster meter digital bersaiz 7 inci, paparan EMV 10.3 inci pada konsol tengah serta sistem audio dengan lapan pembesar suara turut disertakan.
Model ini dikuasakan oleh enjin 2.0-liter yang menjana 169 hp. Apa yang menarik, ia dipadankan dengan kotak gear baharu yang menggunakan gear pertama mekanikal semasa mula memecut sebelum diambil alih oleh CVT untuk pemanduan yang senyap dan menjimatkan.
UX didatangkan dengan Lexus Safety System+ yang merangkumi Pre-collision System(PCS), Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Departure Alert (LDA) dan Adaptive High-beam System (AHS).
Kini dalam generasi ketujuh, ES kini menampilkan pelbagai teknologi terbaru yang dipakejkan di dalam reka bentuk yang elegan dan dinamik.
Sedan eksekutif ini dikuasakan oleh enjin 2.5-liter baharu yang dipadankan dengan transmisi automatik ‘direct shift’ lapan kelajuan untuk pecutan yang linear dan senyap.
Bagi pemandu, terdapat sistem informasi intuitif yang menyediakan pelbagai maklumat pemanduan menerusi paparan EMV 12.3 inci dan kluster meter digital TFT berukuran 7 inci. Paparan head-up yang terbesar di dalam kelasnya pula memastikan pemandu dapat memberi tumpuan sepenuhnya di atas jalan raya.
Penumpang di belakang boleh menikmati pelbagai kemudahan mewah seperti tempat duduk boleh baring serta panel kawalan pada perehat tangan yang boleh mengawal pelindung matahari (sunshade), sistem audio dan pendingin hawa. Dari segi keselamatan, model ini dilengkapi dengan Lexus Safety System+.
No Comment