McLaren dan Sparco Hasilkan Sut Perlumbaan Paling Ringan di Dunia
Setiap pelumba tahu kepentingan sepasang sut perlumbaan. Ia bukan sahaja membuatkan anda tampil bergaya, malah sebenarnya memberi perlindungan sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingin seperti kebakaran.
Untuk itu, McLaren dan Sparco telah bekerjasama untuk menghasilkan sut perlumbaan SP16+. Ia dikatakan sekurang-kurangnya 10 peratus lebih ringan berbanding sut jenama lain dengan berat kira-kira 590 gram (saiz 52).
SP16+ dihasilkan secara buatan tangan di Itali dan setiap satu mengambil masa lebih 12 jam untuk disiapkan. Ia boleh ditempah khas mengikut mengikut kehendak pelanggan dengan pelbagai warna untuk dipilih termasuk warna pasukan masing-masing). Ciri tambahan seperti poket sisi, poket telefon serta tali pinggang juga boleh dipesan.
Pengurangan berat dicapai menerusi penggunaan zip langsing, bahagian pergelangan tangan dan buku lalu Nomex, pad leher dan bahu yang lebih nipis serta benang halus untuk jahitan. Terdapat juga dua lapisan kalis api yang bukan sahaja memberikan perlindungan, malah memastikan sut ini selesa untuk dipakai.
SP16+ telah digunakan oleh pelumba pasukan F1 McLaren sejak dua tahun lalu dan kini ditawarkan kepada pelanggan dengan harga £2,344 (RM12,594). Untuk penampilan lebih bergaya, pelanggan juga boleh mendapatkan topi keledar Bell HP7 berharga £2,568 (RM13,798), pakaian dalam RW-9 £155 (RM832), kasut lumba RB-8 £232 (RM1,246) dan sarung tangan RG-7 £224 (RM1,203).
No Comment