Mercedes-Benz C-Class Coupe Facelift Masuk Pasaran Malaysia
Berikutan pelancaran model C-Class facelift sedan, Mercedes-Benz Malaysia memperluaskan lagi portfolio produknya dengan pengenalan versi Coupe yang ditawarkan dalam varian C 200 (RM346,888) dan C 300 (RM416,888).
Kedua-dua varian dilengkapi dengan AMG Line yang merangkumi gril radiator berlian dengan pin krom serta apron hadapan AMG dengan ambilan udara sporty dan kemasan krom. C 200 dilengkapi dengan lampu LED dan rim aloi 18 inci manakala C 200 mendapat lampu LED Multibeam dan rim aloi 19 inci.
Di dalam, kedua-dua varian menampilkan pakej AMG Line dengan upholsteri kulit Artico, stereng sport pelbagai fungsi dengan balutan kulit Nappa serta kemasan kayu oak pada konsol tengah.
Kelengkapan standard bagi C 200 dan C 300 termasuk pencahayaan ambien, panel pintu dengan tulisan “Mercedes-Benz”, tempat duduk hadapan boleh laras dengan fungsi memori dan sokongan lumbar empat cara. Bagi infotainment, paparan digital 12.3 inci dan paparan media berukuran 10.25 inci adalah standard bagi kedua-dua varian, namun C 300 mendapat ciri tambahan iaitu sistem audio Burmester.
C 200 dikuasakan oleh enjin turbo 1.5-liter empat silinder yang menghasilkan 184 hp dan 280 Nm, dibantu sistem EQ Boost yang mampu menghasilkan kuasa tambahan sebanyak 13 hp dan 160 Nm. Dengan transmisi automatik sembilan kelajuan, coupe ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 239 km/j.
C 300 pula menampilkan enjin turbo 2.0-liter empat silinder dengan 258 hp dan 370 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya enam saat. Varian ini mempunyai kelajuan maksimum 250 km/j.
Bagi aspek keselamatan, C 200 mendapat kamera undur, Blind Spot Assist, Active Parking Assist, Active Brake Assist, Pre-Safe System dan Keyless-Go manakala C 300 mendapat kamera surround dengan Lane Tracking Package dan Active Lane Keeping Assist.
No Comment