Nissan Frontier Sentinel Sedia Untuk Misi Menyelamat
Nissan telah memperkenalkan Frontier Sentinel di acara Sao Paulo Motor Show 2018 di Brazil. Dihasilkan oleh studio rekaan Nissan Brazil, trak pikap konsep ini direka untuk misi menyelamat di pelbagai bentuk muka bumi ekstrem yang terdapat di negara itu.
Frontier Sentinel dilengkapi dengan pelbagai teknologi inovatif terkini, termasuk dua pek bateri dari Nissan LEAF sebagai bekalan kuasa tambahan. Ruang kargo telah diubah suai untuk memuatkan pek bateri tersebut serta satu set laci untuk menyimpan kelengkapan menyelamat seperti sarung tangan, lampu suluh, topi keledar, tali, kapak dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, ruang kargo trak ini turut mempunyai platform di mana dron boleh berlepas dan mendarat, serta roll bar dengan lebih banyak ruang penyimpanan dan dua outlet kuasa. Ia juga didatangkan dengan snorkel dan sistem lampu khas di atas bumbung.
Frontier Sentinel menampilkan warna Thunder-Blue yang diinspirasikan oleh burung nuri Hyacinth Macaw. Walaupun dibiarkan standard, bahagian dalamannya kini dihiasi dengan kemasan berwarna Electric Yellow pada bahagian papan pemuka, konsol tengah, dan tempat duduk.
No Comment