Perincian Harley-Davidson LiveWire Didedahkan
Harley-Davidson LiveWire telah membuat debut Eropah di pertunjukan EICMA di Milan, Itali baru-baru ini. Berikut adalah perincian mengenai motosikal elektrik tersebut seperti yang diumumkan oleh Naib Presiden Perancangan Produk dan Portfolio Harley-Davidson, Marc McAllister.
Kuasa
LiveWire dikuasakan oleh motor elektrik magnetik kekal yang menghasilkan tork segera ketika pendikit dipulas. Motor tersebut terletak di bahagian bawah motosikal untuk menurunkan pusat graviti sekaligus menghasilkan pengendalian yang baik. Ia juga menghasilkan bunyi yang akan menjadi semakin kuat mengikut kelajuan motosikal.
Casis
Menggunakan rangka aluminium untuk meningkatkan ketegaran, LiveWire menampilkan suspensi Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston) pada bahagian hadapan dan penyerap hentak mono Showa BFRC-lite (Balanced Free Rear Cushion-lite) pada bahagan belakang.
Ia turut dilengkapi dengan cakera berkembar berukuran 300 mm dengan angkup Brembo Monoblock di hadapan, tayar Michelin Scorcher (180 mm belakang/120 mm depan), serta ciri ABS dan Traction Control. Terdapat tujuh mod tunggangan yang boleh dipilih – empat daripadanya ditetapkan secara standard dari kilang, manakala selebihnya boleh ditetapkan sendiri oleh penunggang.
Teknologi
Skrin warna TFT yang terletak di atas bar hendal memaparkan pelbagai jenis info yang mudah dibaca. Ia juga membolehkan pemandu mengakses fungsi seperti Bluetooth, navigasi, muzik dan sebagainya.
Selain bateri utama yang digelar RESS (Rechargeable Energy Storage System), LiveWire turut dilengkapi dengan bateri lithium-ion 12-volt untuk membekalkan kuasa kepada lampu, paparan instrumen, hon dan sebagainya. Ia boleh dicas menerusi pengecas on-board Tahap 1 yang boleh disambungkan kepada outlet standard di rumah dengan menggunakan kabel yang disimpan di bawah tempat duduk. Ia juga boleh dicas dengan pengecas Tahap 2 dan Tahap 3. Setiap pengedar Harley-Davidson yang menjual LiveWire akan mempunyai stesen pengecasan awam.
Gaya
Fokus utama LiveWire adalah motor elektriknya yang tersimpan rapi di dalam bekas aluminium yang mempunyai sirip untuk tujuan penyejukan. Badannya dicat menggunakan teknologi mengecat termaju untuk menghasilkan efek logam anodized, manakala fender belakang terletak rapat dengan tayar belakang, membuatkannya hampir tidak kelihatan.
LiveWire akan memasuki pasaran bermula tahun hadapan. Maklumat lanjut mengenai harga dan proses pra-tempahan akan diumumkan pada Januari 2019.
No Comment