Perodua Menceriakan Rumah Kanak-Kanak Shan Sempena Deepavali
Sebagai sebahagian daripada komitmen Tanggungjawab Korporatnya selama tiga tahun kepada Rumah Kanak-Kanak Shan yang bermula Deepavali lepas, Perodua kembali ke rumah kebajikan itu pada Jumaat lalu untuk berkongsi kasih sayang, keceriaan dan harapan sempena Pesta Cahaya tahun ini.
Sewaktu kanak-kanak berada di taska atau sekolah di awal pagi, 10 anggota sukarelawan Perodua bergotong-royong membersihkan dan menghiaskan kawasan rumah, di samping membuat kolam (seni serbuk berwarna) di hadapan pintu utama. Ditambah dengan kehadiran maskot Perodua UFirst Ken, anak-anak semua cukup teruja dan gembira apabila mereka pulang ke rumah.
Perodua turut menyumbang sebuah ketuhar industri serta bahan dan peralatan lain bernilai lebih RM5,000, sebagai kesinambungan kepada kelas membuat roti yang telah diaturkan oleh Perodua untuk Rumah Kanak-Kanak Shan awal tahun ini. Ini membuka peluang kepada mereka untuk mengkomersilkan bahan buatan sendiri.
Perodua juga menyumbang RM3,000 tunai kepada Rumah Kanak-Kanak Shan serta mengagihkan duit raya kepada setiap anak-anak dan penjaganya. Kanak-kanak kemudiannya menikmati minuman petang dan dihiburkan dengan aktiviti seni pasir.
No Comment