Tengku Djan Harumkan Nama Malaysia di China
‘Prince of Drift’ Malaysia, Tengku Djan Ley telah berjaya mendapat tempat kedua dalam kejohanan D1 Grand Prix China Series 2018 pusingan ke-4 baru-baru ini.
Ia merupakan pencapaian luar jangkaan bagi pelumba pasukan MaxxOil Racing itu memandangkan isu teknikal yang dihadapi oleh pasukannya yang menjejaskan sesi latihan mereka.
Sebelum ini, Tengku Djan telah mengalahkan beberapa pelumba terkemuka Jepun untuk melayakkan diri ke pusingan akhir, termasuk pemenang siri D1 GP sebelum ini iaitu Masato Kawabata. Bagaimanapun, gelaran juara akhirnya menjadi milik Hibino Tetsuya, diikuti oleh Tengku Djan di tempat kedua dan Hideyuki Fujino di tempat ketiga.
Ini merupakan acara kedua bagi Tengku Djan dan pasukan MaxxOil Racing dalam bulan November tahun ini, berikutan kejohanan FIA Intercontinental Drifting Cup yang diadakan di Tokyo. Di ibu negara Jepun itu, mereka turut mengalami masalah teknikal melibatkan enjin.
Tengku Djan juga merupakan satu-satunya pelumba dari Malaysia yang beraksi pada kejohanan D1 Grand Prix ini yang rata-rata disertai oleh nama-nama besar dari seluruh dunia seperti Hibino Tetsuya dari Jepun dan pelumba Formula Drift dari Amerika Syarikat, Matt Field.
Kerjasama antara pasukan MaxxOil Racing dan Tengku Djan nyata membuahkan hasil apabila pasukannya turut dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik D1 Grand Prix 2018.
No Comment