Daihatsu Copen Coupe Akhirnya Akan Dijual
Acara Tokyo Auto Salon 2019 pada bulan Januari nanti bakal menyaksikan kehadiran Daihatsu Copen Coupe. Model k-car ini sebenarnya pernah membuat kemunculan di acara yang sama tiga tahun lalu, namun kali ini ia akan hadir bukan sebagai kereta konsep tetapi dalam sebagai model produksi.
Berbeza dengan model sedia ada, Copen Coupe tampil lebih comel dengan reka bentuk lampu bulat yang membuatkannya kelihatan seperti model generasi pertama. Ia didatangkan dengan bumbung tetap yang boleh dilengkapi dengan bumbung suria.
Copen Coupe dikuasakan oleh enjin turbo 660 cc tiga silinder yang menghasilkan 64 hp dan 92 Nm, dengan pilihan transmisi manual atau CVT. Antara kelengkapan standard yang disertakan adalah rim BBS berukuran 16 inci, stereng Momo, paddle shifter bagi varian automatik dan Limited Slip Differential (LSD) untuk manual.
Selain itu, pelanggan juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan kelengkapan tambahan seperti sistem ekzos sport dan sistem suspensi HKS.
Menarik, bukan? Sayangnya pengeluaran Copen Coupe akan dihadkan kepada 200 unit sahaja.
No Comment