Honda Rebel dan X-ADV Dapat Warna Baharu
Boon Siew Honda telah memperkenalkan skema warna baharu bagi dua model jualannya iaitu Rebel dan X-ADV.
Rebel
Setelah dilancarkan di Malaysia pada tahun 2017, Rebel telah menjadi kegemaran ramai yang tertarik dengan reka bentuk ‘bobber’ yang unik. Ia kini boleh didapati dalam warna Axis Grey Metallic dan Pearl Cadet Grey, di samping warna sedia ada iaitu Graphite Black dan Millenium Red.
Rebel dikuasakan oleh enjin sejukan cecair berkapasiti 471 cc, dua silinder selari yang menjana 45 hp pada 8,500 rpm dan 44.6 Nm tork pada 6,000 rpm. Dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, enjin tersebut dikatakan menghasilkan jumlah tork yang tinggi pada rpm rendah dengan kuasa yang linear.
Bagi perkakasan, motosikal ini mendapat fork hadapan 41 mm dan suspensi berkembar di belakang, dengan rim 16 inci yang dibalut tayar bersaiz 130/90 di hadapan dan 150/80 di belakang. Ia juga mempunyai cakera brek hidraulik dan ABS.
Boleh didapati di semua pengedar Honda Big Wing bermula bulan ini (Disember 2018), Rebel dijual pada harga RM32,399 (tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans).
X-ADV
Bagi tahun 2019, skuter pengembaraan ini kini ditawarkan dalam warna Matt Moonstone Silver Metallic, di samping warna Matt Bullet Silver dan Grand Prix Red yang sedia ada.
X-ADV menampilkan enjin sejukan cecair 745 cc dengan 54 hp pada 6,250 rpm dan 68 Nm pada 4,750 rpm. Transmisi klac berkembar (DCT) dengan mod D, S dan G ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda belakang. Satu lagi ciri yang disertakan adalah Honda Selectable Torque Control (HSTC) dengan dua tahap.
Ia juga dilengkapi dengan ruang penyimpanan 21 liter di bawah tempat duduk, penghadang angin boleh laras, bar hendal aluminium, pelindung tangan Africa Twin, paparan instrumen ala rali serta sistem kunci pintar.
X-ADV boleh menjadi milik anda dengan harga RM63,299 bagi warna standard dan RM65,499 bagi warna Grand Prix Red.
No Comment