Hyundai Perkenal Teknologi Cap Jari Pintar
Hyundai telah memperkenalkan teknologi cap jari pintar yang bukan sahaja membolehkan pemandu membuka pintu kereta, malah menghidupkan enjin. Ia akan ditawarkan pada model Santa Fe yang akan dijual di pasaran terpilih bermula suku pertama 2019.
Untuk membuka pintu, pemandu hanya perlu meletakkan jari pada sensor yang terdapat pada pemegang pintu. Maklumat cap jari kemudiannya akan dikenalpasti dan dihantar ke pusat kawalan di dalam kenderaan. Pemandu juga boleh menghidupkan enjin dengan menyentuh butang penghidup enjin yang juga mempunyai pengesan cap jari.
Teknologi ini juga boleh menyimpan tetapan posisi tempat duduk, ciri ketersambungan dan sudut cermin sisi kegemaran pemandu dengan menggunakan data cap jari.
Dari segi keselamatan, ciri pengiktirafan kapasiti yang berfungsi untuk mengesan perbezaan tahap elektrik pada bahagian hujung jari dapat menghalang pencerobohan menerusi penggunaan cap jari palsu. Menurut Hyundai, kebarangkalian sistem ini melakukan kesilapan adalah satu dalam 50,000, menjadikannya lima kali lebih berkesan berbanding kunci konvensional dan sistem kunci pintar.
Bukan itu sahaja, teknologi ini juga mempunyai keupayaan untuk ‘belajar’ mengenali cap jari, selain disokong oleh sistem kemaskini yang dinamik bagi menjadikannya lebih selamat.
Hyundai akan menawarkan teknologi pengenalan cap jari ini pada pasaran terpilih, diikuti oleh pasaran-pasaran lain secara beransur-ansur.
No Comment