Jaguar Land Rover Bangunkan Teknologi Pintu Automatik Untuk Bantu Golongan Kelainan Upaya
Jaguar Land Rover telah membangunkan pintu kereta yang boleh dibuka secara automatik apabila dihampiri oleh pemandu atau menerusi kawalan isyarat (gesture control).
Kini sedang diuji pada sebuah Range Rover Sport, pintu protaip tersebut menggunakan sensor pergerakan dan teknologi kemasukan tanpa kunci sedia ada untuk mengesan kehadiran pemandu.
Menurut JLR, teknologi ini dapat membantu golongan kelainan upaya yang menggunakan kereta sebagai mod pengangkutan utama. Ia juga bertujuan memudahkan urusan pemandu yang mengangkut barang-barang besar ke dalam kereta kerana mereka tidak lagi perlu menggunakan tangan untuk membuka pintu.
Sebaik sahaja masuk ke dalam kereta, pemandu tidak perlu menarik pemegang untuk menutup pintu, sebaliknya hanya perlu menekan butang yang terletak pada bahagian siling.
Sensor radar pada pintu pemandu akan menghalang pintu dari bertembung dengan objek lain semasa ia dibuka. Selain itu, pintu itu juga boleh diprogramkan untuk mengunci sebaik sahaja pemandu keluar dan berjalan dari kereta.
Bagi projek ini, JLR bekerjasama dengan atlet Invictus, Mark Ormrod yang juga merupakan seorang bekas komando Tentera Laut Diraja British.
No Comment