Pendaftaran Pemilihan Pelumba One-Make Race Cub Prix Kini Dibuka
Menjelang perlumbaan terakhir saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Penawar, Johor, 15 dan 16 Disember ini, satu berita baik buat remaja-remaja berbakat yang berminat untuk menceburi bidang perlumbaan secara profesional, apabila pendaftaran bagi sesi pemilihan pelumba Kategori Satu Pengeluar (One-Make Race) bagi musim 2019 kini telah dibuka.
Sama seperti musim-musim lepas, perlumbaan yang dianjurkan bersama-sama pengeluar, Boon Siew Honda Sdn Bhd dan Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd ini terus memainkan peranan penting dalam melahirkan pelumba-pelumba tempatan berbakat di peringkat pembangunan.
“Sebanyak 60 slot pelumba kategori ini tersedia untuk musim 2019 dengan pertambahan 20 slot perlumbaan kedua yang dianjurkan oleh Hong Leong Yamaha,” jelas Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd.
“Setiap tahun, perlumbaan kategori ini terus memperlihatkan muka-muka baharu yang menjadi pelapis kepada generasi pelumba hari ini.”
Perlumbaan satu pengeluar ini mempunyai sejarah melahirkan dan mengembangkan bakat ramai pelumba-pelumba terbaik negara ketika ini.
Antara bakat-bakat yang lahir dari program ini termasuklah Hafizh Syahrin Abdullah, Mohd Ramdan Rosli,Adam Norrodin, Kasma Daniel Kasmayuddin yang memulakan karier dalam siri perlumbaan Yamaha, Khairul Idham Pawi bersama Honda manakala Mohd Zulfahmi Khairuddin memulakan karier di dalam siri perlumbaan Junior GP pada tahun 2007 dan ramai lagi.
Kepada remaja berusia 13 hingga 18 tahun yang berminat, pendaftaran boleh dibuat di laman http://malaysiancubprix.com/rider-search-2019/.
No Comment