Perodua Pindah Lokasi Cawangan Untuk Terus Tingkatkan Rangkaian Jualan
Perodua, melalui pengedar jualan yang sah, DMM Sales Sdn Bhd, telah memindahkan bilik pamerannya di Mid Valley ke lokasi yang baharu yang terletak di Menara MBMR, Jalan Syed Putra, dalam usaha mereka untuk menggandakan kapasiti jualannya di sini dan pada masa yang sama memberi penekanan yang lebih terhadap kepuasan pelanggan.
“Bilik pameran jualan baharu ini, yang seluas 6,900 kaki persegi, lebih daripada dua kali lebih besar berbanding dengan lokasi lama kami, memberikan ruang bilik pameran yang lebih luas dan selesa,” kata Pengerusi Daihatsu (Malaysia) Sdn Bhd, Aqil Tan Sri Ahmad Azizuddin .
Ditubuhkan pada 20 Januari 1995, DMM Sales adalah salah satu anak syarikat Daihatsu (Malaysia) Sdn Bhd. Ia merupakan pengedar terbesar Perodua dengan 17 bilik pameran, 13 pusat servis dan dua pusat badan dan cat di seluruh Malaysia.
DMM Sales telah menyumbangkan sebanyak 10.6% secara purata kepada jualan tahunan Perodua sejak lima tahun yang lalu. Menara MBMR juga menempatkan MBM Resources Berhad, sebuah kumpulan syarikat automotif dengan pelbagai pelaburan dalam industri automotif dan juga pemegang saham perdagangan utama bagi Daihatsu (Malaysia) Sdn Bhd.
Upacara perasmian pada petang tadi turut dihadiri oleh Pegawai Eksekutif Urusan Kanan Daihatsu Motor Co Ltd, Datuk Shigeharu Toda dan Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr Zahari Husin.
“Kami memuji komitmen yang ditunjukkan oleh DMM Sales Sdn Bhd terhadap Perodua dengan pembukaan bilik pameran jualan baharu ini.
“Dengan persaingan pasaran yang semakin meningkat, kami menghargai inisiatif seumpama ini, yang bukan sahaja akan memberi sumbangan positif kepada jualan kami tetapi juga akan menaiktaraf pengalaman pelanggan kami terhadap jenama Perodua,” kata Dato’ Dr Zahari.
Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan Perodua setakat 10 bulan pertama tahun 2018 telah mencapai 187,731 unit peningkatan sebanyak 11% daripada 168,071 kenderaan yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Berdasarkan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 502,244 unit dari Januari-Oktober 2018, bahagian pasaran Perodua berada pada 37.4%.
No Comment