10 Pencapaian Terbaik Proton Sepanjang 2018
Dengan kedatangan tahun baru 2019, Proton menyingkap kembali tahun 2018 yang penuh dengan pelbagai aktiviti dan berkongsi mengenai sepuluh cerita utama bagi sorotan tahun yang sibuk buat pengeluar kereta nasional itu. Cerita-cerita ini dipilih sendiri oleh pekerja-pekerja Proton.
Meskipun majlis pelancaran diadakan pada bulan terakhir tahun 2018, Proton X70 yang dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia, sememangnya merupakan pelancaran kereta tahunan bukan sahaja untuk Proton tetapi untuk seluruh industri automotif negara. SUV pertama keluaran syarikat itu telah mendapat liputan meluas dari media dan mewujudkan imaginasi pembeli kereta yang telah berpusu-pusu ke pusat pameran untuk membuat tempahan awal.
Usaha-usaha publisiti pra pelancaran model baharu Proton tersebut telah pun dijalankan sejak awal tahun 2018 lagi. Pada 14 April 2018, undian nama secara dalam talian telah dilancarkan bagi membolehkan rakyat Malaysia memilih nama dan ia telah mendapat maklum balas yang hebat. Nama yang paling banyak dipilih ialah X70, nama yang mudah dan senang serta sesuai digunakan dalam pelbagai pasaran eksport.
Tumpuan usaha beralih pula kepada model semasa Proton pada 17 Julai 2018 melalui perasmian cabaran Proton 1-Tank Adventure, di mana pemilik Iriz, Persona dan Saga bersaing bersama para media dan ‘key opinion leaders’ untuk meneroka keindahan ke beberapa negeri di Malaysia dengan hanya menggunakan satu tangki minyak.
Acara seterusnya pula ialah pengukuhan kerjasama antara Geely dan Proton menerusi acara menandatangani Perjanjian Dasar Induk yang diadakan di China pada bulan Ogos untuk meneroka rancangan masa depan bagi mengeluarkan dan menjual kereta Proton di negara itu.
Pada bulan yang sama, Proton juga telah berjaya masuk ke dalam senarai Malaysia Book of Records apabila 55 orang berjaya dimuatkan ke dalam sebuah Exora dalam cabaran Ace the Space.
Empat bulan terakhir tahun 2018 menandakan peningkatan jumlah acara atau aktiviti penting syarikat. Pada bulan September lalu, X70 telah dipratonton kepada tetamu undangan dan dari situ bermulalah siri jelajah yang membawa SUV itu ke tujuh bandar utama di Malaysia.
Ini disusuli dengan aktiviti yang tidak melibatkan produk Proton pada 13 Oktober lalu iaitu dengan penajaan dalam perlumbaan HSN21KM. Akan tetapi tumpuan kembali kepada Proton X70 pada 17 Oktober melalui pelancaran platform tempahan dalam talian khas untuk SUV baharu itu.
Pada bulan November pula, dua lagi pencapaian yang menaikkan nama Proton di dada akhbar. Pertama, X70 menerima penarafan lima-bintang ASEAN NCAP, diikuti dengan pengenalan awam model tersebut di acara KLIMS 2018.
Kemudian, Proton juga telah berjaya meraih kejayaan di perlumbaan Sepang 1000KM pada 23 November melalui Iriz, menjadikannya jenama yang paling cemerlang dalam sejarah acara perlumbaan tersebut.
No Comment