Aston Martin Tawar Pakej AMR Track Performance Pack Untuk Valkyrie
Kalau nak diikutkan standard hypercar zaman kini, Aston Martin Valkyrie adalah antara jentera paling berkuasa pernah dihasilkan oleh mana-mana pengeluar kenderaan. Ia juga antara model paling eksklusif dengan hanya 150 unit ditawarkan untuk seluruh dunia.
Bagaimanapun, untuk menjadikan jentera mereka lebih eksklusif, pemilik Valkyrie kini boleh mendapatkan pakej naik taraf AMR Track Performance Pack yang direka khas untuk meningkatkan lagi prestasinya di atas litar.
Pakej tersebut merangkumi clam hadapan bagi menghasilkan downforce lebih tinggi, set panel badan kedua, suspensi talaan litar yang lebih rendah sebanyak 2 mm, sistem brek titanium serta rim magnesium lengkap dengan pelindung yang diperbuat daripada gentian karbon.
Menurut Aston Martin, kesemua komponen tambahan ini menyumbang kepada catatan masa 8% lebih pantas di litar lumba berbanding versi standard. Cuma, mana-mana Valkyrie yang dilengkapi dengan pakej ini akan kehilangan status road-legal mereka. Pemilik perlu menukar kembali kepada kelengkapan standard jika mahu menggunakannya di jalan raya.
Selain itu, Aston Martin turut mengumumkan pakej customization bagi Valkyrie yang disediakan oleh Q by Aston Martin. Terdapat empat spesifikasi yang ditawarkan dan salah satunya adalah Gold Pack yang memberikan perincian emas 24 karat di bawah lapisan cat. Bagi mereka yang mahukan sesuatu yang lebih peribadi, program Ultimate Personalisation turut disediakan.
No Comment